KUANTAN - Pencemaran Sungai Pukin di Keratong, dekat Rompin yang berlaku sejak 28 Ogos lalu dipercayai berpunca daripada pelepasan efluen kilang kelapa sawit yang tidak terawat ke sungai berhampiran mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam perkongsian Facebook miliknya pada Isnin, beliau memberitahu usaha memulihkan sungai tersebut sedang giat dijalankan.
"Kesan pencemaran ini mengakibatkan pelbagai spesies ikan dan hidupan air yang lain mati, selain Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Keratong terpaksa menghentikan operasi sekali gus memberi kesan kepada 11,500 akaun pengguna," kata beliau dalam hantaran tersebut.
Ujar Wan Rosdy, tindakan segera telah diambil oleh pelbagai agensi berkaitan bagi mengatasi masalah berkenaan.
"Antara agensi terlibat ialah Majlis Daerah Rompin, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Bahagian Kawal Selia Air (BKSA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Jabatan Kimia Malaysia.
"Malah, Jabatan Alam Sekitar telah pun mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 16, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya dengan mengarahkan kilang terlibat menghentikan operasi dan memberikan tumpuan kepada kerja-kerja pembersihan.
"Di samping itu, operasi di semua kilang berhampiran Sungai Pukin, Sungai Keratong dan lain-lain anak sungai berhampiran juga telah diarah menghentikan operasi sehingga kerajaan negeri berpuas hati terhadap status pembersihan," tambah Wan Rosdy.
Jelas beliau lagi, Paip juga mengatur gerak lori-lori tangki bagi menghantar bekalan air ke kawasan penduduk terjejas setiap hari sehingga pencemaran Sungai Pukin kembali pulih dan LRA Sungai Keratong dapat beroperasi semula.
"Dalam pada itu, saya memberi amaran keras agar semua kilang berhampiran Sungai Pukin dan Sungai Keratong perlu lebih bertanggungjawab terhadap pengoperasian kilang mereka kerana kejadian sama pernah berlaku sebelum ini.
"Saya juga berharap agar penduduk yang terkesan di sekitar kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Muadzam Shah dan DUN Bukit Ibam dapat bersabar kerana usaha-usaha memulihkan semula Sungai Pukin sedang giat dijalankan oleh pihak bertanggungjawab," ujar beliau.