Kembara Kenali Borneo: Penggunaan dron tidak dibenarkan

Iklan
Mohd Azman pada sidang media berhubung operasi sempena Kembara Kenali Borneo Agong di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak, pada Isnin. - Foto Bernama

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Seramai 1,879 anggota polis Sarawak akan bertugas dalam memastikan kelancaran pergerakan rombongan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sepanjang jelajah Kembara Kenali Borneo di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tugasan kesemua anggota polis dari 7 hingga 13 September itu meliputi aspek keselamatan dan kawalan lalu lintas, di samping turut mengiringi rombongan pasangan diraja.

Iklan
Iklan

Bagi aspek keselamatan, beliau berkata, penerbangan dron sepanjang laluan dan lokasi persinggahan Seri Paduka berdua adalah dilarang sama sekali sepanjang tempoh berkenaan.

"Penerbangan dron hanya dengan kebenaran pihak berkuasa sahaja dan setakat ini, hanya Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Istana Negara dan kerajaan negeri dibenarkan, setelah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM),” katanya pada sidang media Op Kembara Diraja Borneo di sini pada Isnin.

Iklan

Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan dari 3 hingga 13 September bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak melibatkan jarak perjalanan sejauh 2,154 kilometer merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.

Mohd Azman berkata, perjalanan Kembara Kenali Borneo bagi Sarawak melibatkan lapan daerah yang akan menjadi persinggahan konvoi Al-Sultan Abdullah iaitu Lawas, Miri, Bintulu, Tatau, Sibu, Sri Aman, Kuching dan Lundu.

Iklan

"Kembara juga akan melalui 12 daerah lain di Sarawak sepanjang pergerakan dari Miri hingga ke Kuching dengan penglibatan sebanyak 25 kenderaan rombongan,” katanya dan menambah pihak Polis Diraja Malaysia turut menggerakkan pasukan siasatan dan risikan keselamatan sepanjang program berkenaan.

Antara lokasi yang bakal dilawati konvoi Al-Sultan Abdullah di bahagian utara negeri termasuk Bandar Lawas, Tebingan Lawas, Coco Cabana Miri dan Kampung Penan Muslim Batu 10, manakala di wilayah tengah Sarawak melibatkan lokasi Rumah Panjang Raymond Plen, Tokong Yu Lung Tian En Si, Kampung Bandung Sibu dan Pasar Sentral Sibu.

Kembara menelusuri Lebuhraya Pan Borneo itu kemudiannya diteruskan ke bahagian selatan Sarawak meliputi Masjid Bahagian Sri Aman dan Kilometer 0 Lebuh Raya Pan Borneo di Telok Melano, Lundu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Kembara Kenali Borneo: Konvoi menuju Lahad Datu, Sandakan

Agong lancar program Kembara Kenali Borneo

Kembara Kenali Borneo: Agong terharu sambutan rakyat di Tawau

Agong, Raja Permaisuri santuni masyarakat Tawau