SHAH ALAM - Program matrikulasi sudah tidak relevan untuk dilaksanakan pada masa kini kerana matlamat asal penubuhan program bagi mengimbangi agihan kaum di universiti sudah tercapai.
Memetik laporan Malaysiakini, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin berkata, secara dasarnya ketidakseimbangan kaum di universiti sudah ditangani dengan baik.
Bagaimanapun katanya, usaha untuk menghapuskan program itu bakal berdepan cabaran besar kerana ia akan menjadi modal pembangkang untuk mengkritik kerajaan hari ini.
"Waktu ia dimulakan dulu ada alasan baik untuk betulkan ketidakseimbangan (kaum). Sekarang sudah tidak relevan, boleh dihapuskan.
"Tetapi kalau (kerajaan) hapuskan sekarang pembangkang akan terus jadikan isu,"katanya.
Program matrikulasi merupakan program prauniversiti yang diperkenalkan pada 1999 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pelajar Bumiputera melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah pertama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik (STEM) profesional.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu wawancara khas di Putrajaya minggu lalu berkata, program matrikulasi diwujudkan untuk menjadi pintu belakang buat orang Melayu memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Bagaimanapun perkara itu disanggah Pengerusi Keilmuan Nasional, Zamri Mohd Isa dengan mengatakan program itu adalah satu dasar dan usaha untuk memberi dan mewujudkan keadilan sosial selain usaha pendemokrasian pendidikan.
Pada 29 April lalu, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan penambahan 60 peratus pengambilan ke program matrikulasi daripada 25,000 kepada 40,000 pelajar, dengan mengekalkan nisbah 90 peratus untuk bumiputera dan 10 peratus untuk bukan bumiputera.
Penambahan itu membolehkan penambahan pengambilan pelajar bukan Melayu tanpa menjejaskan kuota bumiputera.
Keputusan kabinet itu dibuat selepas rungutan daripada pemimpin kaum India yang mendakwa pelajar cemerlang kaum India tidak dapat tawaran ke matrikulasi.