JKM kesan waris bayi dibuang dalam tong sampah di Klebang

Iklan
JKM mencari waris bayi perempuan yang ditinggalkan dalam tong sampah berhampiran Flat Langkawi, Pantai Emas Klebang, bulan lalu.

MELAKA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka Tengah memohon kerjasama orang ramai untuk mengesan waris bayi perempuan yang ditinggalkan dalam tong sampah berhampiran Flat Langkawi, Pantai Emas Klebang di sini, pada bulan lalu.

JKM menerusi satu kenyataan memaklumkan, bayi yang baru dilahirkan dalam keadaan masih bertali pusat itu ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

Iklan
Iklan

"Bayi itu telah diselamatkan seperti mana peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001 dan menjalani pemeriksaan serta rawatan di Hospital Melaka.

"Sekiranya tidak ada waris, JKM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menempatkan bayi itu di institut JKM atau diserahkan kepada orang yang layak dan sesuai," katanya pada Isnin.

Iklan

Sehubungan itu waris diminta tampil atau menghubungi Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Melaka Tengah, Siti Aishah Mohd Noor di talian 06-3333333.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi yang masih bertali pusat dan uri dijumpai seorang pesara dalam keadaan berbalut tuala kira-kira jam10.30 malam pada 20 Ogos lalu.

Iklan

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dipetik berkata, sebelum itu, anak lelaki pesara terbabit yang berusia 18 tahun mendengar suara mencurigakan dari dalam tong sampah ketika melalui kawasan tersebut lalu pulang ke rumahnya di Taman Pantai Emas untuk memaklumkan kepada bapanya.

"Beliau kemudian membawa plastik putih berisi bayi berkenaan ke Balai Polis Batang Tiga kira-kira 10.50 malam," katanya.