KUALA LUMPUR - Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Datuk Munirah Abdul Hamid meninggal dunia pada usia 70 tahun.
Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 4 pagi tadi di rumahnya di Bangsar, di sini
Berita pemergiannya dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AEON Consortium, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz menerusi Facebook rasmi projek sukarelawan Pertiwi Soup Kitchen.
Allahyarham cukup dikenali aktif berkecimpung sebagai pekerja sosial sejak berusia 17 tahun dalam menyelami masalah hidup golongan gelandangan.
Sepanjang lebih 50 tahun dalam kerja-kerja amal, Allahyarham banyak menyumbang kepada masyarakat, terutama untuk kebaikan wanita dan kanak-kanak dalam pendidikan.
Menerusi Pertiwi Soup Kitchen, Allahyarham menelusuri lorong-lorong kecil sekitar ibu kota bagi menghulurkan sesuap nasi kepada penghuni di kota metropolitan yang kelaparan.
Pertiwi Soup Kitchen yang diasaskan pada 2010 menjadi landasan kepada Allahyarham untuk mendekati golongan sasaran dengan mengedar makanan kepada yang kurang bernasib baik.
Maklumat berkenaan pengebumian akan diumumkan dalam masa terdekat. - Awani