KUALA LUMPUR - Persidangan Tahunan DAP 2023 mencipta sejarahnya tersendiri apabila parti itu buat pertama kalinya menjemput rakan sekutunya daripada Barisan Nasional (BN) terdiri daripada UMNO dan MCA untuk hadir pada persidangan yang akan diadakan di Hotel Marriot, Putrajaya Ahad ini.
Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim Chee Keong berkata, selain BN, jemputan bagi menghadiri persidangan itu turut dihantar kepada semua parti di dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, setakat ini pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada pemimpin ataupun wakil mengenai kehadiran mereka.
"Ada yang dah jawab ada yang belum, saya belum dapat sahkan kehadiran dan maklumat terkini mengenainya, tapi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun kita jemput,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP, Jalan Yew pada Isnin, yang turut dihadiri Naib Pengerusi DAP Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim
Jelas Steven, ini adalah persidangan pertama parti itu selepas membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.
"Untuk makluman cawangan yang layak untuk hantar wakil adalah sebanyak 1,530 seluruh negara melibatkan 3,868 perwakilan dan terdapat pertambahan berbanding kongres DAP September tahun lalu.
"Semua ahli Parlimen, ADUN dan Senator merupakan wakil dalam persidangan selain kehadiran perwakilan peringkat cawangan,” katanya
Tambahnya, notis menghadiri persidangan berkenaan telah dihantar ke setiap cawangan manakala korum kehadiran bagi melayakkan persidangan diadakan adalah sebanyak 25 peratus daripada jumlah keseluruhan perwakilan.
"Antara perkara yang dijangka dibincangkan dalam persidangan ini adalah hala tuju dan dasar parti, perancangan ekonomi selepas DAP bersetuju bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan (PH)-BN,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai slogan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh parti itu, Steven menegaskan sekali lagi bahawa ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan negara.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, perjuangan menerusi slogan itu adalah untuk memartabatkan rakyat Malaysia di negara ini.
"Saya rasa perkara ini telah dijelaskan oleh Setiausaha Agung (Anthony Loke) dan sebenarnya konsep ini tidak bercanggah Perlembagaan negara, kalau Malaysia bukan untuk rakyat Malaysia, Malaysia untuk siapa?
"Jadi saya rasa Setiausaha Agung juga dah jelaskan kalau ada ahli membangkitkan soal dasar dan perjuangan parti itu dalam persidangan akan datang, itu adalah ruangnya dan ahli parti bebas untuk bangkit hal tersebut,” katanya
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan 'Malaysian Malaysia' seperti didesak sesetengah pihak.
Anthony berkata, prinsip itu juga telah dijelaskan dan dipersetujui secara bersama sebelum Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar dibentuk sebelum ini.