KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas yang sebelum ini dibekukan.
Beliau bagaimanapun meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja melibatkan tiga sektor berkenaan.
"Kita bagi kelulusan, bagilah sikit. Tapi saya tak nak bagi penuh sebab kena cari jalan (untuk beri latihan) melalui TVET (Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), melalui TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional). Bagi latihan pada orang-orang muda,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur D’Medan Selera Madani di Kompleks Tun Sambanthan, di sini yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami.
Perdana Menteri berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini kerana ia melibatkan keperluan segera.
Selain itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi menaik taraf gerai dan warung di seluruh Kuala Lumpur.
Sementara itu, Sivakumar ketika ditemui media berkata jumlah tenaga kerja asing yang diperlukan untuk sektor melibatkan kedai gunting, tekstil dan kedai emas adalah kira-kira 15,000 orang.
"Ketiga-tiga (sektor) ini menghadapi masalah sejak beberapa tahun kerana mereka tidak boleh bawa pekerja asing untuk bekerja dalam ketiga-tiga sektor tersebut kerana ia telah dibekukan.
"Banyak usaha telah diambil untuk membolehkan orang tempatan bekerja dalam sektor ini tetapi banyak kekangan yang menyebabkan mereka sukar mendapat tenaga kerja tempatan, maka permintaan untuk ketiga-tiga sektor ini berterusan bertahun-tahun," katanya.
Menurut Sivakumar, permintaan pekerja asing bagi sektor restoran yang turut dibekukan sebelum ini telah diselesaikan apabila permohonannya dibuka pada awal tahun ini. - Bernama