Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Rabu ini

Iklan
Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah anjuran BPGN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan diadakan Rabu ini. Gambar kecil: Abd Aziz

SEPANG - Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah anjuran Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu bakal menjadi satu platform bagi perancang dasar dan pemain industri dalam menilai, merancang dan mengambil tindakan bersesuaian dalam membantu mewujudkan masyarakat madani yang bebas rasuah.

Pengarah BPGN, Datuk Abd Aziz Aban berkata, persidangan itu turut menjadi platform perkongsian dapatan penyelidikan dalam konteks governans, integriti dan anti rasuah.

Menurutnya, sebanyak 10 kertas penyelidikan akan dibentangkan dalam persidangan tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama institut pengajian tinggi awam dan swasta iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Multimedia (MMU).

Iklan
Iklan

"Ia selain membincangkan isu semasa berkaitan risiko rasuah, pelanggaran integriti dan kelemahan tata kelola yang boleh ditambah baik," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, persidangan yang diadakan secara tahunan itu juga bagi memastikan keperluan dan kesinambungan pelaksanaan sistem penyampaian dan pengurusan risiko.

Iklan

Beliau berkata, ia memandangkan aspek pengurusan sangat penting dalam memastikan tata kelola baik sentiasa dipraktikkan.

"Daripada penyelidikan ini juga kita dapat meneliti punca dan persekitaran berisiko yang berkaitan dengan pengurusan integriti, tadbir urus serta perbuatan rasuah secara mendalam dan berasaskan kepada metodologi penyelidikan yang sah," katanya.

Iklan

Beliau berkata, hasil dapatan penyelidikan akan dicadangkan untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk dipertimbangkan dalam pembuatan dasar negara, melibatkan aspek governans, integriti dan anti rasuah.

Sebagai contoh katanya, ia boleh dibawa melalui platform Jawatankuasa Khas Kabinet Tata Kelola Nasional (JKKTN) dan Jawatankuasa Antirasuah (JAR) Peringkat Kebangsaan.