KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyita dan merampas sebahagian aset hasil penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didaftarkan atas nama penasihat undang-undang firma pelaburan itu, Jasmine Loo Ai Swan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, aset itu merangkumi hartanah, akaun bank, lukisan, beg tangan berjenama mewah, jam tangan dan dokumen berkaitan dianggarkan bernilai RM93.2 juta iaitu nilai semasa pembelian dibuat pada 2013.
"Kesemua rampasan ini diperoleh hasil pendedahan Jasmine ketika memberikan keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK)," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, pada Isnin.
Ayob Khan berkata, kesemua aset itu membabitkan pembelian hartanah di New York, London dan Singapura dan pelaburan di Amerika Syarikat yang kesemuanya didaftar atas nama Jasmine.
"Selain kediaman mewah ini, terdapat juga sembilan lukisan mewah termasuk dua daripadanya lukisan Pablo Picasso," katanya.
Beliau berkata, hasil pendedahan Jasmine, pihak polis melakukan pemeriksaan di satu unit kondominium di Bukit Damansara di sini, dan menyita barangan berharga RM625,000.
"Sitaan itu adalah membabitkan satu utas jam tangan jenama Richard Mille, satu utas jam tangan Harry Winston, 13 buah beg tangan pelbagai jenama, satu utas gelang tangan dan pelbagai dokumen berkaitan.
"Semua aset yang dirampas ini kini berada dalam simpanan JSJK," katanya.
Beliau berkata, pada masa ini polis sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa di luar negara dalam proses mendapatkan semula semua aset yang didedahkan oleh Jasmine.
"Ia dijangka mengambil masa yang panjang untuk mendapatkan semula aset ini kerana ia melalui proses melucutkan hak milik selain kerjasama dengan pihak berkuasa di luar negara," katanya.
Beliau berkata, Jasmine telah ditawarkan jawatan sebagai penasihat undang-undang 1MDB sejak Mei 2011 dan menerima gaji RM40,000 sebulan.
"Siasatan menunjukkan Jasmine adalah pemilik syarikat River Dee International SA yang didaftarkan di British Virgin Islands.
"Syarikat ini menjalankan perniagaan hartanah dan telah membuka akaun Falcon Private Bank bersama Jho Low pada November 2012," katanya.
Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Jasmine ditahan polis selepas hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi siasatan berkait maklumat kes 1MDB.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, wanita berusia 49 tahun itu hadir bersama peguamnya.
Razarudin memaklumkan pihaknya masih menyiasat dan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mereka memerlukannya sebagai saksi atau membuka siasatan.