'Pak cik mohon maaf' - Suhaimi Sulaiman

Iklan
(Gambar kiri) Tangkap layar video dikongsi Suhaimi melalui Instagramnya. (Gambar kanan) Kiki juara Bintang Kecil RTM 2023.

KETUA Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman memohon maaf kepada juara Bintang Kecil RTM 2023, Kiki dan naib juaranya, Farha atas kesilapan teknikal yang berlaku pada pentas akhir Ahad lalu.

Jelas Suhaimi, dia memahami tekanan yang dihadapi Kiki dan Farha apabila lampu sorot (spotlight) yang sepatutnya dihalakan kepada Kiki selaku juara, tetapi tersekat ke arah Farha.

Iklan
Iklan

"Mesej ini pak cik (Suhaimi) tujukan khas kepada adik Kiki dan Farha, pemenang tempat pertama dan kedua Bintang Kecil RTM 2023 yang berlangsung semalam (Ahad).

"Pak cik tahu tahu perasaan Kiki dan Farha tertekan kerana format kita adalah lampu akan menyala kepada siapa yang menang dan Kiki memenangi pertandingan semalam tetapi lampu itu jatuh kepada Farha," ujarnya dalam satu video yang dimuat naik menerusi hantaran di Instagramnya pada Isnin.

Iklan

Tambah Suhaimi, pengacara program itu, Azam Pitt cuba untuk membetulkan keadaan tetapi lampu sorot tersebut telah tersekat sehingga mengundang salah faham bukan hanya kepada Farha tetapi juga penonton di studio dan rumah.

"Abang Azam sebagai pengacara cuba untuk membetulkan keadaan tetapi sudah terlambat kerana lampu sudah terlalu lama menyala dan tidak dapat berjalan kerana sudah tersekat dan menyebabkan tekanan.

Iklan

"Pak cik berada di atas pentas dan turut berasa tekanan itu. Jadi pak cik minta maaf bagi pihak RTM. Pak cik doakan agar Kiki dan Farha terus berjaya," katanya.

Barisan finalis bersama pengacara Bintang Kecil RTM 2023, Sweet Qismina dan Azam Pitt.

Menerusi pentas akhir Bintang Kecil RTM 2023 yang berlangsung pada Ahad lalu menyaksikan Kiki atau nama sebenarnya Fateha Nasleen Suhailin dinobatkan sebagai juara.

Peserta berasal dari Sabah itu memperolehi kemenangan berganda apabila diumumkan memenangi Persembahan Terbaik.

Menerusi acara yang berlangsung meriah di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kota Samarahan, Sarawak itu menyaksikan Kiki membawa pulang hadiah sebanyak RM20,000 berserta trofi, sijil dan hadiah iringan serta hadiah Persembahan Terbaik sebanyak RM4,000.

Naib Juara pula menjadi milik Nurfarina Farha Abdul Zahir dari Selangor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, manakala Wa’ie Mohd Zain dari Johor yang berada di tempat ketiga memenangi wang tunai sebanyak RM10,000.

Pentas sama menyaksikan Mohd Alif Ikmal Danial Azawan dari Sabah dipilih memenangi Bintang Pilihan Prodigy, manakala lima finalis yang lain membawa pulang wang tunai saguhati sebanyak RM5,000 berserta sijil dan trofi.

Pertandingan itu menyaksikan kemampuan vokal para peserta diuji menerusi dua pusingan, iaitu membawakan persembahan lagu solo dan pada pusingan kedua mereka diberikan tugasan berduet.

Kemuncak Bintang Kecil 2023 turut diserikan dengan persembahan artis jemputan Dayang Nurfaizah, Ernie Zakri, Luca Sickta, Kmy Kmo dan Hijrah Yahya yang menghiburkan penonton dengan lagu popular masing-masing.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi yang telah hadir bagi mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.