MUAR - Mana-mana pihak termasuk pemimpin parti yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan dikeluarkan selain bersedia berdepan tindakan undang-undang.
Timbalan Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, jika pihak berkuasa mengambil tindakan, mereka (polis) tidak boleh dipersalahkan atas tindakan itu kerana ia bertujuan menjaga kestabilan negara.
"Siapa juga yang melanggar peraturan, mereka harus bertanggungjawab untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang yang ada dalam negara ini.
"Peruntukan undang-undang (sudah) ada, kalau tidak ambil tindakan nanti rakyat melihat kita membenarkan perkara yang melanggar undang-undang dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pesara Polis Johor Cawangan Muar di sini hari ini.
Shamsul Anuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa pemimpin parti yang dipanggil polis bagi memberikan kenyataan berhubung isu 3R dalam kenyataan mereka.
Beliau berkata, peringatan untuk tidak menyentuh isu 3R juga telah dibangkitkan banyak kali pada pilihan raya negeri yang lepas seperti dikatakan Ketua Polis Negara.
Sehubungan itu, Shamsul Anuar menasihatkan semua pihak agar berpolitik secara matang dan berhadapan dengan rakyat dengan hujah serta dasar polisi yang baik kerana rakyat sudah bijak untuk menilainya.
"Sebagai rakyat Malaysia perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah disepakati sejak dulu, saya fikir tidak perlu disentuh terutama perkara yang berkaitan dengan 3R oleh sesiapa pun.
"Untuk menunjukkan kekuatan parti masing-masing, paparkan dasar polisi apa yang baik nak ditawarkan kepada rakyat. Itu lebih baik kerana rakyat sudah bijak untuk menilai," katanya. - Bernama