KUALA LUMPUR - Sebuah keluarga memohon Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan permohonan mereka untuk menyewa Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Ibu kepada lima anak, Intan Mazrisa Mohamad Noor, 34 berkata, rumah ibu saudara yang disewanya lebih sepuluh tahun lalu kerap dinaiki air setiap kali hujan.
Menurutnya, rumah itu kurang sesuai diduduki dua anaknya yang menghidap masalah kulit sensitif (ekzema) yang menjalani pemeriksaan di hospital awal secara berkala.
"Saya telah memohon PPR sejak 2007 namun ditolak disebabkan suami ketika itu bukan warganegara, tapi kini sudah berstatus penduduk tetap (PR).
"Jangan pandang suami saya tapi kasihanilah anak-anak saya. Kulitnya sensitif dan perlu penjagaan rapi, bila sakitnya datang, keadaan badannya akan berkudis dan kemerahan, mengambil masa yang lama untuk baik," katanya merupakan suri rumah sepenuh masa.
Katanya, pendapatan suami yang bekerja sebagai pembantu di pasar malam sekadar cukup makan menyebabkan mereka tiada pilihan terpaksa tinggal di rumah itu dengan sewa RM450 sebulan.
"Susah nak dapatkan rumah sewa yang murah di Kuala Lumpur. Disebabkan itu saya tak pernah putus asa memohon mendapatkan rumah PPR yang lebih selesa dan persekitarannya lebih bersih.
"Saya tak mampu untuk bekerja kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Setiap enam bulan saya perlu menjalani pemeriksaan selepas menjalani pembedahan di bahagian pundi kencing beberapa tahun lalu," katanya.