KUALA LUMPUR -- Kenaikan harga beras putih import memberi manfaat kepada industri padi dan beras negara kerana ia telah mendorong peningkatan permintaaan pengguna kepada beras putih tempatan, kata Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azman Mahmood.
Beliau berkata, kenaikan harga beras putih import di seluruh negara susulan penyelarasan harga yang dibuat oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas), menyebabkan pengguna kini lebih cenderung membeli beras putih tempatan yang dijual pada harga dikawal iaitu sekitar RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.
"Bila harga beras putih import melonjak daripada RM33 kepada RM39, ia akan menjadi satu fenomena, semua orang akan mencari beras tempatan.
"Dahulu sekitar 2021, beras tempatan tiada pemintaan. Semua cari beras import sebab harga tidak jauh berbeza, sekarang (beza) RM26 dengan RM39. Semua akan fokus kepada beras tempatan terutamanya peniaga,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Jumaat lepas, Bernas menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 setan kepada RM3,200 setan sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Menurut Bernas, faktor luaran seperti iklim yang tidak menentu dan kadar pertukaran mata wang yang lemah, secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global ditambah dengan kesan larangan pengeksportan beras putih diumumkan India baru-baru ini.
Dengan mengambil kira perkembangan itu, Azman berkata, langkah perlu diambil bagi meningkatkan pengeluaran beras putih tempatan sekali gus menampung keperluan pengguna dalam negara dan mengurangkan kebergantungan kepada beras import.
Menurutnya, tahap sara diri (SSL) bekalan beras negara yang kini berada di paras 62 peratus sedikit membimbangkan kerana ia terdedah kepada gangguan bekalan sekiranya berlaku perkara yang boleh menjejaskan bekalan beras import.
"Jangan di bawah paras 60 peratus (SSL). Kalau bawah paras itu ia membimbangkan kerana dengan cuaca dunia yang tidak menentu, kita takut sekatan akan dilakukan negara luar untuk tidak membenarkan beras dieksport dan itu akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia,
"Rakyat Malaysia makan nasi purata 80 kilogram (kg) setahun, tetapi jangan lupa kita juga ada warga asing yang purata makan 120kg setiap orang. Penggunaan beras kita lebih kurang 200,000 tan metrik setiap bulan. Kita tiada pilihan, kita kena berusaha habis-habisan untuk meningkatkan pengeluaran dalam negara,” katanya.
Menurut Azman, kerajaan telah mengambil langkah intervensi bagi meningkatkan bekalan beras putih tempatan di pasaran dengan meminta pengilang padi zon utara meningkatkan pengeluaran sebanyak 20 peratus dan memberikannya kepada kerajaan melalui Bernas.
"Ini supaya tambahan 20 peratus itu memang betul-betul berada di dalam pasaran. Kalau kita buat 20 peratus ini, lebih kurang 423,000 tan metrik setahun yang kita akan dapat.
"Anggaran tahun ini kita boleh keluarkan dalam 23 juta kampit 10kg atau 47 juta kampit 5kg,” katanya.
Beliau berkata, langkah tersebut bagaimanapun hanya bersifat sementara dan penyelesaian serta pembaharuan bagi meningkatkan produktiviti padi dan beras negara secara berkekalan sedang diusahakan. - Bernama