KUALA LUMPUR - Sindiket tonto dikesan bertindak berani memasang alat sistem pengesanan global (GPS) pada kenderaan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), dipercayai bagi mengesan pergerakan penguatkuasa yang menjalankan tugas di sempadan negara.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah AKSEM Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata awal tahun ini, tiga kenderaan AKSEM di Kelantan dikesan mempunyai alat GPS yang diletakkan di bahagian bumper belakang.
"Apabila anggota membuat pemeriksaan kenderaan, kami dapati terdapat alat mencurigakan iaitu alat GPS dan ia sememangnya berfungsi.
"Tonto sekarang menggunakan teknologi seperti alat GPS yang kami percaya dipasang untuk mengesan pergerakan anggota AKSEM yang membuat kawalan di sempadan negara," katanya.
Oleh itu, Shaharuddin berkata kesemua kenderaan agensi itu telah diarah untuk menjalani pemeriksaan rapi bagi memastikan tiada alat seperti GPS dipasang.
"Sindiket tonto ini memang akan memantau anggota penguatkuasa dan kami sedang menyiasat macam mana alat itu boleh berada pada kenderaan.
"Terdapat kemungkinan alat itu diletakkan ketika kenderaan AKSEM sedang diselenggara di kedai... siasatan bagaimanapun sedang dijalankan,” katanya.
Beliau mengingatkan anggotanya supaya berwaspada dengan ancaman daripada kumpulan tonto yang boleh bertindak ganas.
"Anggota AKSEM juga telah dibekalkan dengan senjata sekiranya berdepan ancaman tertentu,” katanya.
Ancaman tonto terhadap penguatkuasa di sempadan nyata apabila seorang pegawai kastam wanita meninggal dunia akibat dilanggar sebuah pacuan empat roda yang dipercayai dinaiki tonto di Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan pada 2016.
Dalam kejadian itu, kenderaan yang dinaiki Allahyarham Anisah Ali, 54, bersama dua rakan setugas dilaporkan dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tonto ketika mengekori sebuah kenderaan yang disyaki membawa rokok seludup. - Bernama