KOTA BHARU - Persekitaran yang kurang ceria termasuk longkang tersumbat menyebabkan Pasar Kubang Pasu yang berusia 91 tahun 'tenggelam' walaupun menjadi tumpuan sesetengah pelancong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, beliau nekad menjadikan pasar itu sebagai salah satu daripada 10 lokasi tarikan pelancongan utama di bandar ini.
"Pasar yang dibina pada tahun 1932 ini sememangnya sudah terkenal dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong kerana keunikan kuih muih serta makanan yang dijual. Namun disebabkan masalah persekitaran, ia kurang mendapat kunjungan.
"Potensinya ada cuma perlu dipertingkatkan dari segi imej dan beberapa perkara lagi," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Sebelum itu, Dr Hafidzah bersama Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor menjayakan Program Komunikasi Tindakan Setempat dan Sambutan Hari Kebangsaan di Pasar Kubang Pasu, di sini.
Dr Hafidzah berkata, beliau telah mengenal pasti masalah dan akan cuba menaikkan imej pasar tersebut.
Ujarnya, setakat ini aktiviti gotong-royong telah diadakan dengan kerjasama semua agensi melibatkan kerja mengecat, mencuci dan sebagainya.
"Sasaran saya ialah Pasar Kubang Pasu akan menjadi 10 lokasi wajib dikunjungi apabila datang melancong di Kota Bharu," katanya.