Raja Charles III sambut ulang tahun pertama naik takhta

Iklan
Raja Charles III dan Ratu Camilla melambai di balkoni Istana Buckingham. - Foto AFP

LONDON - Genap setahun Raja Britain, Raja Charles III menaiki takhta selepas peralihan kuasa dengan lancar daripada mendiang ibunya, Ratu Elizabeth II.

Sambutan ulang tahun yang bakal berlangsung pada Jumaat, dijangka diadakan secara tertutup memandangkan tarikh itu juga merupakan hari kematian bondanya yang berusia 96 tahun.

Iklan
Iklan

Charles, 74, telah mengambil tanggungjawab baharunya dengan mudah selepas 70 tahun menunggu untuk dilantik menjadi raja Britain dan disifatkan paling lama dalam sejarah negara tersebut.

Bagaimanapun, tiada perubahan besar dibuat baginda kepada monarki seperti diharapkan, namun lebih kepada seorang penjaga sebelum anak sulungnya Putera William menggantikan baginda selepas ini.

Iklan

"Saya berpendapat peralihan ini akan lebih lancar daripada apa yang dijangkakan,” kata Pauline Maclaran, seorang profesor di Royal Holloway, Universiti London kepada AFP.

Charles secara rasmi dimahkotakan bersama isterinya, Ratu Camilla pada 6 Mei di Westminster Abbey, London dengan dihadiri raja-raja dan pemimpin global lain.

Iklan

Upacara mewah itu menyaksikan ia dilakukan lebih pendek dan kurang rumit berbanding ibunya pada 1954 yang bertujuan untuk mewakili Britain moden.

"Kita menjangkakan sedikit perubahan. Sebenarnya baginda membuka jalan kepada William. Putera ini akan menjadi pemodenan sebenar monarki,” kata Maclaran.

Tinjauan YouGov mendapati 55 peratus rakyat Britain mempunyai pendapat positif terhadap ketua negara baharu mereka berbanding 44 peratus tahun lalu.

Ucapan pertamanya yang disiarkan sempena Krismas telah ditonton 10.6 juta penonton di United Kingdom (UK).

Raja berjiwa rakyat

Raja Charles III beramah mesra dengan orang ramai di Cornwall, England. - Foto AFP

Sebagai raja Britain dan seluruh negara Komanwel, Charles melakukan beberapa lawatan ke seluruh negara dengan diiringi Camilla dan pendapat menyatakan baginda lebih mudah didekati berbanding Ratu Elizabeth II.

"Gambar-gambar mereka di istana yang dikeluarkan mendapati pasangan ini kelihatan santai,” kata pensyarah sejarah di Universiti Manchester Metropolitan, Jonathan Spangler.

Menurut Maclaran, Charles telah menampilkan diri sebagai seorang ‘rendah hati dan mudah didekati’ ketika Britain bergelut dengan krisis kos sara hidup paling teruk dalam sejarah.

Charles kini terpaksa menangani pendedahan memoir anak lelakinya, Putera Harry.

Anak bongsunya itu dan isterinya, Meghan yang menetap di Amerika Syarikat (AS) telah menyiarkan siri dokumentari yang menceritakan punca mereka keluar daripada keluarga diraja pada 2020.

"Charles menangani situasi tersebut dengan baik sekali.

"Baginda tidak menyalahkan sesiapa atau membalasnya, malah berpegang teguh dengan pendirian mendiang ibunya iaitu ‘tidak mudah melayan dan mengeluh’ apabila tohmahan datang,” kata Maclaran. - AFP