Ancaman pendatang haram di perairan kita

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 10 Ogos lalu.

DUA minggu lalu, sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berjaya ditahan polis selepas bot yang dinaiki tersadai di perairan tanah air berhampiran pantai Sungai Tiang, Rungkup, Bagan Datuk, Perak.

Menurut siasatan pihak polis, bot berkenaan dalam perjalanan ke Tanjung Balai, Medan, Indonesia selepas mengambil 40 PATI untuk dibawa pulang ke negara asal selepas bekerja tanpa permit di Malaysia.

Iklan
Iklan

Kehadiran warga asing di sekitar daerah Bagan Datuk terutama yang bekerja dalam sektor perikanan amat dirasai oleh warga tempatan kerana menjadi ancaman kepada nelayan kecil di Sungai Tiang, Rungkup, Sungai Burung dan Bagan Datuk.

Apa tidaknya, warga asing ini bermaharajalela menangkap hasil laut menggunakan bot tidak berdaftar tanpa mengira masa dari awal pagi sehingga lewat malam dan tidak langsung rasa segan silu terhadap nelayan tempatan.

Iklan

Peraturan ditetapkan Jabatan Perikanan diabaikan pendatang haram ini apabila dengan selamba menggunakan pukat tarik di kawasan pesisiran pantai sekali gus memusnahkan hidupan marin yang menjadi sumber pendapatan nelayan kecil.

Menjadi persoalan juga bagaimana bot haram kendalian pendatang haram itu boleh beroperasi dengan selesa menggunakan bahan api diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia dan kemudian mengaut hasil laut negara.

Iklan

Rompakan hasil bumi negara secara terang-terangan ini membawa kepada banyak tanda-tanya bukan sahaja dalam kalangan nelayan tempatan tetapi penduduk setempat tentang sejauh mana tahap penguatkuasaan perairan negara.

Tatkala hampir setiap bulan ada operasi di sekitar perairan Bagan Datuk dan Manjung, penduduk masih bimbang mengenai jumlah sebenar warga asing yang tinggal di kawasan mereka kerana setiap tangkapan dibuat pihak berkuasa tidak langsung menjejaskan aktiviti perikanan dilakukan pendatang haram itu.

Malah bot-bot yang tidak berdaftar digunakan nelayan asing itu tidak pun dilupuskan sehinggakan jeti-jeti utama perikanan seperti di Bagan Sungai Burung dan Bagan Sungai Tiang begitu padat dengan bot-bot nelayan ini.

Jika ditanya kepada nelayan tempatan, banyak aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa tentang kegiatan pendatang asing itu tetapi keadaan tetap sama malah ada yang mengambil tindakan sendiri memuat naik video aktiviti nelayan asing menerusi akaun media sosial masing-masing supaya tular untuk diberikan perhatian.

Sudah pasti keberanian pendatang haram ini disebabkan wujudnya permintaan terhadap hasil laut selain dilindungi oleh pemilik bot yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata.

Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa kerana kemasukan PATI sangat merugikan negara bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dari sudut keselamatan dan ancaman kepupusan sumber perairan.

Tangkapan PATI sahaja tidak mencukupi, sebaliknya cari juga pengkhianat negara yang hanya memikirkan keuntungan dengan membenarkan peralatan mereka digunakan pendatang haram mengaut hasil bumi milik kita.

Ancaman kepupusan sumber marin juga membawa kepada kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan rakyat yang bertungkus lumus mencari rezeki untuk keluarga mereka.

Janganlah soal keterjaminan makanan dijadikan alasan untuk menghalalkan kegiatan pendatang haram ini kerana nelayan tempatan juga mempunyai keupayaan untuk mendaratkan hasil laut.

Penguat kuasa di negara ini tidak boleh lagi berlembut dan berdiplomasi terhadap sebarang bentuk pencerobohan perairan negara kerana ia tidak langsung memberi manfaat kepada kedaulatan Malaysia.

Jika bot nelayan Malaysia memasuki perairan Indonesia, sudah pasti bot-bot ini diletupkan oleh pihak berkuasa negara jiran itu, jadi langkah tegas harus diambil untuk memberi amaran kepada pendatang haram ini supaya tidak sewenang-wenangnya menceroboh perairan negara.

Apa yang pasti, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan kegiatan pendatang haram di perairan negara dihentikan segera kerana tidak langsung memberi manfaat untuk Malaysia.

Tindakan kita dalam menangani isu ini akan menentukan sejauh mana semangat patriotisme mengatasi segala cabaran untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan terus dipelihara. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

* Sailfullah Ahmad ialah Ketua Biro Sinar Harian Perak