SIRIM terus tekad perangi rasuah

Iklan
Rasuah Busters SIRIM Chapter dilancarkan pada Disember 2022 untuk memerangi budaya rasuah dan menolak amalan salah guna kuasa. (Gambar kecil: Ahmad Sabirin)

SHAH ALAM - Hampir setahun kerjasama dimeterai antara Rasuah Busters bersama SIRIM Berhad (SIRIM) dan dalam tempoh itu pelbagai inisiatif dilaksanakan, sejajar tekad memerangi budaya rasuah daripada terus membelenggu negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, menerusi kerjasama dinamakan Rasuah Busters SIRIM Chapter, agenda menentang perbuatan jijik itu berjaya diperluaskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, SIRIM sentiasa bertindak ke hadapan dalam usaha memerangi rasuah dan berharap usaha itu dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kebinasaan yang diakibatkan oleh rasuah.

"Apabila kita memeterai kerjasama dengan Rasuah Busters ini, ia lebih memberi penekanan tentang peri pentingnya bagi kita memerangi rasuah secara besar-besaran.

Iklan

"Kalau dahulu mungkin kita melakukannya di peringkat SIRIM dengan kerjasama agensi-agensi yang sedia ada seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) misalnya.

"Tetapi apabila kita bekerjasama dengan NGO (Rasuah Busters) ini, kita dapat rasakan satu platform yang akan membawa gelombang lebih besar dan di sini mungkin dari sudut psikologinya penerimaan lebih senang kerana ia bukannya satu agensi penguat kuasa tetapi agensi yang memberi kesedaran kepada ramai bahawa pentingnya melihat rasuah sebagai satu najis yang patut dihindari,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di ibu pejabat SIRIM di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, Rasuah Busters SIRIM Chapter dilancarkan pada Disember 2022 bertujuan memerangi budaya rasuah dan menolak amalan salah guna kuasa.

Kakitangan yang mengikuti program integriti anjuran SIRIM cawangan Johor pada Februari lalu.

Katanya, ia diharap dapat menjadi satu garis panduan buat semua pihak lain di luar sana untuk membentuk masyarakat berintegriti dan antirasuah.

Mengulas lanjut, Ahmad Sabirin berkata, apa yang lebih menarik, sikap saling melengkapi antara SIRIM dan Rasuah Busters memberikan nilai tambah terhadap penambahbaikan serta penekanan nilai tata kelola di SIRIM.

"Ini juga sejajar dengan usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering menekankan tentang tata kelola dan di SIRIM, apabila kita ingin memerangi rasuah habis-habisan, kita bukan sekadar bercakap tetapi melaksanakannya menerusi tindakan.

"Sebagai contoh, kita ada unit-unit tertentu yang ditubuhkan seperti unit integriti khususnya bagi memastikan isu-isu yang berkaitan salah laku integriti kita dapat hapuskan dan beberapa amalan standard dan tata kelola seperti pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) SIRIM 2022-2026,” katanya.

Jijik perlakuan rasuah

Mengulas lanjut, Ahmad Sabirin berkata, kesedaran tentang bahana rasuah bukan hanya bermula di peringkat pejabat sebaliknya perlu bermula dari rumah dan sekolah.

Jelasnya, menggunakan platform surau dan masjid untuk menyebarkan mesej mengenai isu-isu berkaitan rasuah merupakan satu usaha yang baik.

"Kita ingin tunjukkan bahawa rasuah ini tidak elok dan perlu diperangi. Sekarang ini kita tahu haram tetapi orang masih melakukannya, seolah-olah tiada apa-apa kesalahan.

"Kita perlu memahami rasuah merosakkan semuanya, kena lihat rasuah sebagai sesuatu yang jijik, kalau dahulu makanan dan minuman haram seperti minuman keras hendak pegang botol pun takut, pegang babi pun takut najis jadi kita kena lihat rasuah pun sama juga (perasaan seperti itu),” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Sabirin berkata, bagi memastikan nilai tata kelola sentiasa menjadi keutamaan SIRIM, pihaknya sentiasa membuka pintu kepada SPRM untuk memantau.

"SIRIM tidak akan berkompromi langsung dengan hal-hal berkenaan rasuah dan sebagainya dan sekiranya disabitkan kesalahan kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan,” katanya.