KOTA BHARU - Kelantan United FC (KUFC) berjaya menundukkan pasukan tercorot Liga Super Kuching City FC 2-1 di laman sendiri di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, pada Isnin.
Beraksi atas padang becak kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mencari gol pendahuluan.
Kuching City terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah pada minit ke-8 melalui rembatan Amir Amri Salleh namun penjaga gawang KUFC Mohd Shahril Sa’ari cemerlang menangkap kemas bola rembatan ITU.
Tersentak dengan serangan itu, Sang Kijang Hijau terus mengatur gerak ke kubu tuan rumah dan berjaya dengan serangan balas pada minit ke 12 menerusi tendangan kencang Jose Elmer Porteria namun sedikit tersasar.
Tuan Rumah terus mengasak menerusi sepakan jarak jauh Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin pada minit ke 15 namun berjaya di tampan penjaga gol Kuching City Shaiful Wazizi Mohammad.
Di sebalik serangan bertali arus tuan rumah, Kuching City berjaya membuat satu serangan balas dan menjaringkan gol pendahuluan menerusi ayam tambatan Abu Kamara pada minit ke-42 menerusi satu tandukan.
Seawal dua minit babak kedua bermula Sang Kijang Hijau tidak menunggu lama untuk menggempur kubu The Cats dalam usaha menyamakan kedudukan.
Usaha gigih skuad kendalian Ailton Silva akhirnya membuatkan hasil apabila kembali mengikat perlawanan melalui tandukan Ismaheel Akinade pada minit ke-47 selepas menerima hantaran dari kapten KUFC Mohd Syazwan Zainon.
Minit ke-56 Porteria mengukuhkan kedudukan tuan rumah untuk gol kedua menerusi rembatan terus melantun masuk ke gawang meletakkan KUFC di depan.
Jaringan KUFC memberi tiga mata berharga buat Sang Kijang Hijau menjarakkan diri dari zon penyingkiran.
Tamat perlawanan KUFC-2, Kuching City-1.