Shahidan dakwa PH, BN guna nama Agong dalam kempen PRK

Iklan
Shahidan bersama jentera dan penyokong PN dalam program Pentas Anak Muda Perikatan Nasional di pekarangan DPKK Bakri, Muar, pada malam Isnin.

MUAR - Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap pemimpin BN dan Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan nama Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara berleluasa dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Pengerusi Majlis Backbenchers Perikatan Nasional (PNBBC) itu berkata, apa yang dilakukan itu telah menyentuh sensitiviti dan memperalatkan nama Seri Paduka Baginda semata-mata mahu meyakinkan penyokong mereka supaya menerima kerjasama politik BN dan PH.

Iklan
Iklan

"Jangan gunakan nama Agong, guna nama Agong (dalam kempen) sekali lagi, saya buat 'report' polis. Mana boleh guna 3R (kaum agama dan raja) kerana kononnya kerajaan ini ditubuhkan atas arahan Agong.

"Polis kata Haji (Tan Sri Abdul) Hadi (Awang) dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) kalau guna 3R kena tangkap, bagaimana mereka menggunakan nama Agong, kenapa tak tangkap, tangkaplah," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dalam program Pentas Anak Muda Perikatan Nasional di pekarangan Dewan Pemuda Pas Kawasan (DPKK) Bakri di sini pada malam Isnin.

Turut hadir Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari; Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Timbalan Ketua Pemuda PN, Wong Chia Zhen; Ketua Pemuda PN Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Mastura Muhammad.

Iklan

Pada 29 0gos lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyentuh isu 3R dan satu pasukan khas ditubuhkan memantau laman sosial milik parti politik jika membangkitkan perkara berkenaan.

Pada Isnin, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R tanpa mengira pangkat atau kedudukan.

Setakat ini, Abdul Hadi sudah dipanggil pihak polis untuk disiasat berkenaan ucapan beliau yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di Markas Pas di sini.

Pihak polis juga sudah membuka kertas siasatan terhadap Muhyiddin selepas didakwa mengeluarkan 'fatwa'politik semasa berucap di Nusa Bestari, Johor Bahru pada malam Sabtu bahawa mengundi calon PH Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat adalah haram.

Sementara itu, Shahidan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyelar DAP kerana tidak mahu menggugurkan slogan Malaysia Malaysian dalam perjuangan mereka.

Tegas beliau, konsep itu tidak sesuai digunakan di Malaysia dan dakwaan bahawa Orang Asli adalah penduduk asal Tanah Melayu dan bukan orang Melayu adalah tidak benar serta jelas satu pemesongan fakta.

Mengenai pendirian kepimpinan tertinggi UMNO yang sebelum ini lantang menentang konsep itu, beliau mendakwa, semua orang UMNO tidak bersetuju dengan perjuangan Malaysia Malaysian dibawa DAP tetapi tidak ramai berani bersuara.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, hanya beberapa pemimpin sahaja yang berani menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan slogan itu iaitu Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ahli MKT UMNO, Isham Jalil.

"Sekarang tak payah banyak cakap, pergi pangkah PN habih (sokong calon Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram 9 September ini)," ujar beliau.