SEPANG - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan 74 kes rampasan dadah dengan nilai rampasan RM13.3 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, bagi tempoh lapan bulan tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, statistik sejak Januari itu mendapati kes paling tinggi ialah rampasan di pusat kurier iaitu 71 kes.
Menurutnya, selebihnya ialah dua kes libat penumpang dan satu kes eksport.
"Daripada jumlah itu, dadah jenis methamphetamin paling banyak iaitu 142.87 kilogram (kg) dengan nilai mencecah RM5.2 juta, ketamin (RM1.7 juta), kokain (RM3 juta), MDMA (RM1.8 juta) dan heroin (RM1 juta).
"Dadah jenis ekstasi (RM2,050), eramin 5 (RM34,805), ganja (RM398,502) serta ephederine (RM16,776)," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo di sini pada Selasa.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, JKDM telah menahan enam suspek di mana dua telah dituduh di mahkamah.
Katanya, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan dan diingatkan untuk tidak terlibat dengan kegiatan terbabit.
"Sebarang maklumat aktiviti penyeludupan boleh disalurkan di Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran di semua negeri. JKDM juga memberi jaminan bahawa setiap identiti pemberi maklumat dirahsiakan," ujarnya.