PRK: SPR sasar 99 peratus pemilih awal keluar mengundi

Iklan
Anggota polis menunjukkan jari selepas menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi PRK Parlimen Pulai di Pusat Mengundi Balai Polis Kempas pada Selasa. - Foto Bernama.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan sekurang-kurangnya 99 peratus daripada 927 pemilih awal terdiri daripada pegawai dan anggota polis, akan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, hari ini (Selasa).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, proses pengundian awal di Balai Polis Kempas dan Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di sini yang dibuka serentak pada 8 pagi tadi, berjalan dengan lancar.

Iklan
Iklan

"Di Markas PPM Wilayah Dua ada dua saluran dan di Balai Polis Kempas pula ada satu saluran. Kita lihat dari segi trend pengundian, ia amat baik, dengan sejam pertama sudah 16 peratus diikuti jam kedua sudah 34 peratus.

"Kehadiran amat menggalakkan dan kami berharap kedua-dua tempat mengundi awal ini akan mencapai peratusan yang baik, sekurang-kurangnya 99 peratus pengundi awal keluar mengundi," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Markas PPM Wilayah Dua, di sini pada Selasa.

Iklan

Daripada 927 pemilih, seramai 46 orang akan mengundi di pusat mengundi awal di Bilik Gerakan, Balai Polis Kempas, manakala 881 orang akan mengundi di Dewan Nusantara, Markas PPM Wilayah Dua.

Abdul Ghani turut menasihatkan pengundi bagi kerusi parlimen itu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram supaya keluar menunaikan tanggungjawab lebih awal Sabtu ini selain tidak memberikan kad pengenalan diri kepada bukan petugas yang terlibat dalam pilihan raya tersebut.

Iklan

"Keluarlah mengundi lebih awal atau mengikut waktu yang dicadangkan SPR. Mohon pengundi tidak memberi kad pengenalan diri kepada pihak atau individu yang tidak sepatutnya dan jagalah kad pengenalan masing-masing supaya tidak timbul masalah berkaitan.

"Bagi pengundi yang berada di luar kawasan, pulanglah ke kampung dan tunaikanlah tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi di kedua-kedua kawasan PRK ini," katanya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Pulai dan seramai 40,379 pengundi bagi Simpang Jeram.