JOHOR BAHRU - Pihak Imigresen akan membuka lebih banyak kaunter di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), dalam usaha memudahkan pengundi yang tinggal atau bekerja di Singapura pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini.
Menurut calon Pakatan Harapan (PH), bagi PRK Parlimen Pulai (P. 161), Suhaizan Kaiat, perkara itu perlu dilakukan kerana dianggarkan hampir 30 peratus pengundi di Pulai bekerja di Singapura.
Malah bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, permintaan berkenaan dibuat agar lebih ramai rakyat yang bekerja di republik tersebut dapat pulang menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.
"Saya telah berhubung dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membuka lebih banyak kaunter dan memudahkan pemilih (pengundi) yang bekerja di Singapura pulang untuk mengundi.
"Ini membolehkan pemilih yang bekerja di Singapura dapat pulang dengan selesa pada Jumaat dan Sabtu ini," katanya kepada pemberita ketika meninjau proses undi awal sempena PRK Pulai (P 161), di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Tampoi, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, bagi meninjau proses berkenaan adalah calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohd. Fauzi.
Sementara itu Suhaizan berkata, berdasarkan kepada kaji selidik dan temubual yang dijalankan mendapati ramai pekerja Malaysia di Singapura menyatakan komitmen untuk pulang mengundi pada PRK ini.
"Bukan semua pengundi yang bekerja di Singapura dan tinggal di sana, tapi kebanyakannya adalah mereka yang berulang-alik ke republik itu.
"Ada yang mengadu sedih tak dapat melaksanakan tanggungjawab kerana terpaksa bekerja pada Sabtu, ada juga yang menyatakan kesungguhan untuk pulang mengundi di Pulai.
"Oleh itu, kita berharap agar peratus pemilih yang bekerja di Singapura ini dapat keluar mengundi dan seterusnya membantu kemenangan Pakatan Harapan dalam PRK kali ini," katanya.