SHAH ALAM - UKM Graduate School of Business (UKM GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Projek Larian Amal ‘Run For Hope’ telah membantu anak-anak kurang bernasib baik di bawah Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Imán Malaysia (Pernim).
Pengarah Projek Larian Amal ‘Run For Hope’, Aiswarya Gobu berkata, larian tersebut yang diadakan di di Taman Botani, Shah Alam telah disertai seramai 200 peserta dan merupakan program yang julung kali diadakan oleh UKM GSB.
Aiswarya berkata, seramai 40 anak-anak akan dibantu dan hasil kutipan derma yang akan disalurkan bagi penambahbaikan infrastruktur dan renovasi rumah kebajikan tersebut.
"Hasil kutipan juga akan digunakan untuk tujuan perubatan dan pelajaran anak-anak tersebut.
"Selain membantu mereka, penganjuran larian ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai golongan kurang bernasib baik yang amat memerlukan bantuan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ramai yang masih kurang tahu mengenai kewujudan Pernim.
"Kami berharap penganjuran larian amal ini bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta larian, malah turut sama dapat menghebahkan dan memberi kesedaran mengenai anak-anak yang memerlukan bantuan,” katanya.
Aiswarya berkata, Pernim merupakan pertubuhan untuk membantu memperjuangkan nasib pesakit HIV/AIDS, anak yatim, anak tanpa kerakyatan, anak Orang Asli, anak luar nikah dan anak-anak terbiar di Malaysia.
Sementara itu, Pengasas Pernim, Norlina Alawi berkata, penganjuran program itu banyak membantu Pernim dalam usaha menjaga kebajikan dan keperluan asas anak-anak di rumah kebajikan ini.
Beliau berharap lebih banyak agensi, organisasi atau badan korporat di luar sana dapat melaksanakan kerjasama atau program tangggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama Pernim bertujuan untuk memupuk kesedaran yang tinggi kepada masyarakat mengenai kewujudan anak-anak yang memerlukan perhatian dan bantuan orang awam.
Program itu turut menerima tajaan daripada organisasi dan jenama seperti Hardex, Blackmores, Nestle Milo, MSU Medical Centre, PERSAR, Setia Price, Adabi, Sura Energy, Jantzen, Farmasi Materia Medica, Peachow Design, Duopharma, YSP Industries dan 1901.