PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa diberitahu bahawa, tiada bukti menunjukkan Samirah Muzaffar dan dua remaja membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.
Rahmat Mohamed Hazlan berkata demikian ketika hujahan rayuan oleh pasukan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor yang membebaskan Samirah dan dua remaja berhubung kematian Nazrin, lima tahun lalu.
Rahmat yang mewakili Samirah, 48, serta dua remaja masing-masing berusia 18 dan 21 tahun, sebagai responden berkata, tiada bukti untuk mengaitkan pihak-pihak yang dituduh, sekali gus perkara itu menjadi andaian tanpa sebarang asas bukti.
Menurutnya, 'teori orang terakhir’ yang diguna pakai pihak pendakwaan dalam kes kematian Nazrin adalah tidak terpakai.
"Mereka (pihak yang dituduh) telah memberikan pembelaan yang konsisten walaupun kenyataan dirakam berkali-kali, malah direkodkan secara berasingan.
"Bukan itu sahaja, pihak pendakwaan sendiri mengakui bahawa motif dalam kes ini adalah kabur dan tidak jelas,” katanya.
Selain Rahmat, responden turut diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Pada prosiding ini, pendakwaan selaku pemohon diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim.
Menurutnya, beban pembuktian kes ini beralih kepada pihak pendakwaan, yang mana mereka perlu membuktikan bahawa tertuduh bertanggungjawab terhadap pelakuan jenayah itu.
Semasa hujahan pada Isnin, pihak pendakwaan berkata, Samirah dan dua remaja ini merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap kematian Nazrin.
Yusaini Amer berkata, disebabkan tiga responden itu merupakan individu terakhir dilihat bersama Nazrin, adalah munasabah untuk dibuat inferens bahawa mereka mempunyai peluang untuk membunuhnya.
Di dalam kes ini katanya, tidak dinafikan tiada mana-mana saksi yang menyaksikan kejadian pembunuhan berlaku, namun tiga responden itu merupakan orang terakhir yang dilihat bersama si mati sebelum dia ditemui dalam bilik yang terbakar.
Selain itu, Rahmat menegaskan bahawa, mahkamah perlu mengambil kira sifat hubungan antara tertuduh dan si mati.
Sekiranya terdapat bukti hubungan baik, bukti kali terakhir dilihat akan kekal sebagai syak wasangka semata-mata dan tidak selamat untuk disabitkan kesalahan atas bukti tunggal itu.
Beliau juga berkata, penjelasan Samirah mengenai kali terakhir melihat Nazrin adalah konsisten.
"Dalam kenyataan pertama bertarikh 17 Jun 2018, Samirah menyatakan, ketika berada di rumah, jirannya datang untuk memaklumkan bahawa asap keluar dari tingkap bilik tidur di tingkat atas rumahnya.
"Samirah kemudian berlari ke tingkat atas dan cuba membuka pintu nilik tetapi tidak berjaya, lalu dia meminta bantuan daripada pengawal keselamatan kawasan perumahan,” katanya.
Panel tiga hakim, diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli menetapkan 19 September depan untuk hujahan balas daripada pihak pemohon.
Mengikut pertuduhan, Samirah, dua remaja dan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, keesokkan harinya.
Jabatan Peguam Negara memfailkan notis memfailkan rayuan ini, dua hari selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Samirah dan dua remaja itu, pada 21 Jun 2022 daripada tuduhan berkenaan.
Pada 30 Jun tahun sama, Samirah dan dua remaja ini turut memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin, dilakukan dengan sengaja.