JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang pada Selasa berkongsi rawatan rutin di Institut Jantung Negara (IJN) menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 di China hujung bulan ini.
Beliau berkata, pemeriksaan itu untuk memastikan tahap kesihatan khususnya jantung berada dalam keadaan terbaik ketika temasya tersebut berbaki 18 hari lagi.
"Alhamdulillah. Selesai melakukan routine checkup di IJN," tulis beliau di Facebooknya.
Pada April tahun lalu, pemenang pingat perak acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menjalani pembedahan selepas disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA).
Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman turut mendedahkan mengenai proses pemeriksaan tersebut yang dibahagikan kepada dua hari.
"Prosesnya selama satu jam di dalam MRI dan 30 minit untuk CT scan. Apabila berada di dalam scanner dan selama proses tersebut.
"Ia membuatkan saya mengimbau kembali segala detik keperitan yang saya perlu lalui sepanjang melalui kisah perjalanan masalah jantung dahulu," ujar pelumba yang berasal dari Terengganu itu.
Azizulhasni turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu proses pemeriksaan berkala itu berjalan lancar.
"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Prof Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon di atas bantuan menguruskan dan melancarkan segala proses serta sentiasa ambil cakna tentang tahap kesihatan saya.
"Juga kepada pihak IJN dan Institut Sukan Negara (ISN),” katanya lagi.
Azizulhasni akan mengetuai skuad basikal negara beraksi di Sukan Asia Hangzhou, China bermula 23 September depan.