863 calon berdaftar di Pahang gagal ambil SPM tahun lalu

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Soffi Abdul Razak

KUANTAN - Seramai 863 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 di Pahang tidak memgambil peperiksaan tersebut walaupun sudah berdaftar.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, daerah Kuantan mencatatkan bilangan tertinggi dengan 203 calon diikuti Raub (91 calon), Temerloh (86 calon), Rompin (82 calon), Maran (74 calon) dan Lipis (69 calon).

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi daerah lain, Jerantut (65 calon), Bera (60 calon), Pekan (55 calon), Bentong (47 calon), dan Cameron Highlands (31 calon).

"Beberapa faktor dikenal pasti menjadi menyumbang kepada permasalahan itu antaranya tekanan akademik yang tinggi, masalah kesihatan, masalah peribadi atau keluarga serta kekurangan motivasi pelajar itu sendiri.

Iklan

"Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) telah membuat pemantauan melalui Sistem E-Profil Kerjaya Murid (SePKM) secara berkala bagi memastikan pelajar yang berisiko cicir di sekolah sentiasa diberi perhatian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Woo Chee Wan pada Sidang DUN Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Iklan

Mohd Soffi berkata, langkah-langkah sewajarnya diambil dari semasa ke semasa teasuk. mengenal pasti punca pelajar tidak mengambil SPM, sesi konsultasi bersama ibu bapa atau penjaga, pendedahan dan panduan dalam bidang kerjaya pelajar serta sokongan kaunseling yang berterusan.

"Bagi mengatasi masalah ini, beberapa tindakan diberi lebih penekanan antaranya kenali gaya pembelajaran dan pelbagaikan aktiviti pembelajaran yang bersesuaian serta memenuhi keperluan pelajar.

"Guru disaran mempelbagaikan pendekatan pengajaran tidak hanya terhad kepada kuliah dan penerangan, sebaliknya menjalankan aktiviti yang memberi lebih ruang murid terbabit aktif dalam pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, suasana persekitaran pembelajaran yang kondusif serta bimbingan positif terhadap pelajar perlu dilaksanakan dalam usaha mengurangkan masalah ini.

"Persekitaran pembelajaran kondusif amat penting untuk memastikan pelajar kekal fokus kepada pembelajaran dan lebih berminat untuk mendalami sesuatu topik.

"Perkara ini perlu diberikan perhatian setiap guru dalam menyusun atur bilik darjah kepada suasana yang lebih selesa, selamat dan murid dapat bergerak aktif untuk berinteraksi," ujarnya.

Tambah beliau, bimbingan positif yang berfokus terhadap kerjaya dan masa depan seharusnya memberikan pengalaman positif kepada murid dalam pengembangan potensi dirinya justeru guru kena lebih peka melihat kekuatan dan kelebihan mereka.