Pahang naik taraf landasan Lapangan Terbang Pulau Tioman

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menyediakan pelan alternatif bagi menambah panjang landasan lapangan terbang di Pulau Tioman kepada 1.35 kilometer sekiranya cadangan projek Lapangan Terbang Pulau Tioman yang asal tidak dapat dilaksanakan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui cadangan alternatif yang dipersetujui itu, landasan sedia ada sepanjang 850 meter akan ditambah 500 meter lagi menaik taraf kemudahan itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan alternatif itu dikemukakan memandangkan pelan asal cadangan Projek Lapangan Terbang Pulau Tioman mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk penduduk tempatan kerana dibimbangi aktiviti penambakan akan merosakkan alam sekitar dan ekosistem marin termasuk terumbu karang.

"Sebagai alternatif kerajaan negeri bercadang dan bersetuju untuk menambahkan landasan sepanjang 500 meter dan tanah-tanah yang diperlukan telah dikenal pasti," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mencelah untuk jawapan tambahan kepada soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat prihatin dengan kehendak rakyat setempat dan sekiranya sesuatu projek pembangunan yang dirancang akan menimbulkan masalah dan merugikan kerajaan, ia mungkin tidak akan laksanakan.

Iklan

Terdahulu Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, cadangan pembangunan Projek Lapangan Terbang Pulau Tioman telah diluluskan secara dasar melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri Pahang pada 2017 di atas tanah kerajaan seluas 91 hektar.

Menurutnya, projek pembangunan itu tertakluk kepada pematuhan kepada 14 kajian, ulasan dan nasihat sebagaimana yang diputuskan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) melalui mesyuarat pada Oktober 2020.

"Setelah ulasan dan laporan teknikal diperoleh, cadangan pemajuannya akan dibentangkan semula dalam mesyuarat MPFN untuk kelulusan penuh.

"Syarikat pemaju telah membuat permohonan penambahan kawasan seluas 92 hektar bagi keperluan kawasan penstabilan cerun yang merangkumi penambahan kawasan darat dan dasar laut.

"Bagaimanapun semakan mendapati, syarikat terbabit masih belum menjelaskan bayaran yang berkaitan tapak cadangan projek tersebut," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang membuat ketelitian wajar dengan menyemak keperluan sempadan tambahan tersebut mengambil kira kesesuaian, kebolehlaksanaan serta implikasi kepada ekosistem marin sekiranya ada.

"Hasil dapatan itu akan menjadi ulasan teknikal bagi pertimbangan semula pemajuan cadangan projek itu oleh MPFN," katanya.