Sidang Kemuncak ASEAN: Anwar luang masa jumpa pemimpin, tokoh Islam Indonesia

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika disambut delegasi Malaysia ketika tiba di lobi hotel sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2023 Ke-43. - Foto Bernama.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berada di Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan, meluangkan masa untuk berdiskusi dan bertukar pandangan dengan pemimpin gerakan dan pertubuhan Islam di republik itu, semalam.

Menerusi perkongsian di Facebook hari ini, beliau berkata, pertemuan itu amat bermakna tatkala mereka menghimbau garis sejarah permulaan beliau sebagai aktivis yang pernah belajar daripada hikmah tokoh Islam Indonesia seperti Bapak Mohammad Natsir dan Buya Hamka.

Iklan
Iklan

"Dalam perbincangan ini kami banyak menyentuh tantangan pemikiran, keilmuan, dakwah dan isu yang dihadapi dunia Islam.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan ke atas Ketua Umum Muhammadiyah, Bapak Haedar Nashir; Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia (DDII), Dr Adian Husaini; dan Prof Din Syamsuddin yang turut hadir bersama dengan 11 organisasi termasuk Ibu Khofifah Indar Parawansa, Ketua Muslimat Nadhatul Ulama (NU) serta Gabenor Jawa Timur atas kesudian hadir dalam pertemuan ini,” katanya yang turut memuat naik beberapa keping gambar mengenai pertemuan terbabit.

Iklan

Anwar berkata, siri pertemuan dan diskusi seperti itu akan terus disemarakkan demi memperkukuh kerjasama erat Malaysia dan Indonesia serta terus memelihara persaudaraan antara gerakan dan pertubuhan Islam dari kedua-dua negara.

Perdana Menteri yang tiba di Jakarta bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam, akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu dari 5 hingga 7 September iaitu yang kedua dihadirinya selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo.

Iklan

Ini adalah sidang kemuncak pertama beliau bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.

Semasa persidangan itu, 11 pertemuan dua hala telah dijadualkan termasuk dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida. - Bernama.