MUAR - Perikatan Nasional (PN) akan melancarkan manifesto bertemakan 'Simpang Jeram Sejahtera dan Berpendidikan' sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di sini pada Rabu.
Calon PN bagi DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya berkata, manifesto berkenaan menawarkan perancangan membangun komuniti di kawasan tersebut yang sejahtera dan berpendidikan dengan meletakkan beberapa isu utama sebagai fokus.
"Didukung oleh komuniti yang sejahtera dan berilmu dengan meletakkan fokus sepakat, pengamalan keadilan, toleransi serta keharmonian antara agama dan kaum, ketelusan urus tadbir serta ketenteraman awam," katanya ditemui pemberita di Markas Pas Kawasan Bakri di sini pada Selasa.
Beliau berkata, fokus kedua ialah mewujudkan keprihatinan antara pemimpin dan masyarakat Simpang Jeram yang saling bekerjasama tanpa mengira bangsa dan latar belakang.
Tambahnya, fokus ketiga pula ialah pemerkasaan modal insan Simpang Jeram ke arah kelangsungan generasi yang berilmu; berdaya saing, inovatif dan utuh nilai rohani serta jati diri.
"Maka dengan itu di atas segala inisiatif yang telah digariskan, saya berikrar sekiranya terpilih dalam pilihan raya kecil ini, kami akan memperkukuh proses semak dan imbang dalam DUN Negeri Johor sebagai pembangkang yang berwibawa.
"Bukan sebagai mereka yang sentiasa mengkritik, tetapi memberikan pandangan yang positif untuk kebaikan rakyat di Simpang Jeram dan Negeri Johor secara umumnya,” ujar beliau.
Dr Mazri turut berjanji untuk memastikan Pusat Khidmat DUN kawasan itu dapat dibuka dan memberi khidmat terbaik kepada masyarakat selain mengutamakan kebajikan semua rakyat.
"Juga memperhebat penglibatan kaum wanita, generasi muda, kelompok OKU (orang kurang upaya) dan rakyat berbilang kaum dalam setiap inisiatif atau program peringkat DUN Simpang Jeram,” ujarnya.
Selain itu, beliau menyatakan komitmen untuk menganjurkan sesi dialog awam bersama rakyat secara berkala.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada 9 September ini.
Dr Mazri bakal bertemu dengan calon Pakatan Harapan (PH) dan BN, Nazri Abdul Rahman serta calon Bebas, S Jeganathan.