Bilangan pengambilan pekerja asing 3 sektor ditentukan Jumaat - Sivakumar

Iklan
Sivakumar

KUALA LUMPUR - Bilangan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas akan ditentukan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, perkara terperinci mengenai pengambilan pekerja asing dalam tiga sektor yang sebelum ini dibekukan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kalau ada perkara-perkara yang lebih terperinci, berkemungkinan nanti saya akan umumkan selepas mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan National Training Index (NTI) di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu yang dibekukan sebelum ini.

Iklan

Bagaimanapun, Anwar meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja melibatkan tiga sektor berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata, beberapa agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) termasuk Institusi Latihan Perindustrian (ILP) kini telah menukar program automatif sedia ada kepada latihan berasaskan kenderaan elektrik (EV).

Iklan

Beliau berkata, ia susulan permintaan tinggi terhadap EV bukan hanya di negara ini, malah seluruh dunia yang akan memberikan impak kepada industri automatif di Malaysia.

"Kita perlu bersedia dan memastikan mereka (mekanik) yang terlatih ada upskilling mengikut peredaran terkini. Program automatif yang menggunakan Internal Combustion Engine iaitu enjin pembakaran dalam, kini ditukar dengan EV dari segi latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media tempatan yang menyatakan permintaan tinggi terhadap EV akan menjejaskan ramai golongan mekanik jika mereka tidak berubah mengikut arus teknologi. - Bernama