PUTRAJAYA - Video tular di media sosial kononnya pendatang China memohon kerakyatan negara ini, merupakan video pada 2018 yang diulang siar, kata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"JPN juga ketika itu telah mengeluarkan kenyataan rasmi, menafikan perkara ini,” menurut kenyataan JPN hari ini, susulan video tular di media sosial mengenai dakwaan"Berduyun-duyun pendatang China nak mohon kerakyatan dari DAP”.
Iklan
Iklan
Video tular berdurasi satu minit 35 saat di media sosial itu, kononnya ratusan individu hadir ke Dewan Serbaguna di Kepong untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.
Kenyataan JPN itu memaklumkan urus tadbir pengurusan kewarganegaraan di negara ini, dilaksanakan JPN adalah berlunaskan Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa, bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin.
"Orang ramai perlu berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima, bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara,” katanya. - Bernama