MOSCOW - Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menggesa Presiden Bank Dunia Ajay Banga menangani kritikan meluas terhadap institusi kewangan itu dengan mewujudkan sistem kewangan global yang lebih adil.
"Indonesia dan negara-negara membangun lain menaruh harapan tinggi untuk anda mewujudkan sistem kewangan global yang lebih adil untuk semua, terutama bagi negara-negara membangun,” Sputnik memetik Agensi Berita Indonesia Antara yang memetik Widodo sebagai berkata.
Iklan
Iklan
Presiden menambah beliau yakin bahawa Banga"menyedari pelbagai kritikan terhadap Bank Dunia, termasuk oleh Setiausaha Agung PBB mengenai kurangnya perhatian terhadap kepentingan negara membangun".
Dalam pertemuan mereka, Widodo berkata, ketidaktentuan dalam situasi global semasa menjejaskan pembangunan ekonomi sedang pesat membangun dan memerlukan kerjasama antara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Bank Dunia.
Beliau juga menekankan komitmen Indonesia terhadap pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan menyeru untuk mengukuhkan komitmen terhadap pembiayaan dan pelaburan dalam tenaga hijau dan peralihan ekonomi.
Pertemuan pada Isnin diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, Indonesia, yang berlangsung dari 5 hingga 7 September. - Bernama