KELUARGA penyampai berita TV3, Raymond Goh menegaskan laporan dan khabar angin yang tersebar mendakwa selebriti itu sudah meninggal dunia adalah palsu.
Menerusi kenyataan isterinya, Faridah Teh dan keluarga, mereka memaklumkan Goh kini masih hidup dan kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.
Menurut kenyataan itu, keluarga meminta semua pihak mengabaikan berita tersebut kerana hanya keluarga yang akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status kesihatan Goh.
"Kami menggesa semua orang dan media untuk mengesahkan fakta diterima sebelum menyebarkannya.
"Kami akan memberikan situasi terkini berhubung kesihatan Goh dari semasa ke semasa melalui kenyataan rasmi daripada keluarga,” menurut kenyataan itu.
Pada 1 September lepas melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendoakan Goh dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesembuhan serta keafiatan segera.
Turut mendoakan kesembuhan ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, penyampai berita itu dilapor berada dalam keadaan kritikal selepas diserang penyakit angin ahmar dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.
Goh atau nama sebenarnya Mohd Zaman Goh memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O'clock News dan kemudian beralih kepada Nightline di stesen televisyen berkenaan.
Beliau telah berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun dan kini turut menjadi jurulatih untuk pengucapan. - AWANI