KPDN Perak tahan pemilik premis, rampas aksesori telefon tiruan

Iklan
Anggota penguat kuasa KPDN memeriksa dan merampas aksesori telefon berjenama terkenal yang disyaki tiruan bernilai RM3,308.20 di Pusat Perniagaan Falim, di sini pada Isnin. -Foto Facebook KPDN Perak

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menahan seorang pemilik premis dan merampas aksesori telefon berjenama terkenal yang disyaki tiruan bernilai RM3,308.20 di Pusat Perniagaan Falim, di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, lelaki berumur 43 tahun itu yang berada di tempat kejadian ketika pemeriksaan Op Tiru ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati premis ini sedang beroperasi dan menjalankan perniagaan menjual borong aksesori peralatan telefon.

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa KPDN menemukan 215 unit Super Cable Charge Type-C, 230 unit Charger, 443 unit USB Cable 5A Fast Charge, 121 unit Buds classic, 141 unit bateri dan 1,143 unit fon telinga yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagang palsu jenama terkenal dan diletakkan di rak jualan di dalam premis berkenaan.

Iklan

"Lelaki itu ditahan sementara untuk membantu siasatan dan semua barangan yang disyaki menggunakan cap dagang palsu dan dokumen berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis yang sudah beroperasi kira-kira dua tahun itu menjalankan perniagaan secara jual borong dan hanya menjual kepada pembeli yang telah berdaftar dengan syarikat dan syarat minimum pembelian ialah 10 unit ke atas.

Iklan

Katanya, wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal terhadap barangan terbabit dan premis disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019. - Bernama