SKUAD bola sepak Bawah 23 (B-23) tahun negara hadir ke Thailand dengan misi mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 di Qatar, pada April tahun depan.
Itu iltizam pengendali skuad Harimau Muda B-23, E Elavarasan selepas kunjungan kali terakhir skuad muda negara tersebut ke bumi Gajah Perang dalam Kejuaraan AFF B-23 berakhir dengan kekecewaan.
"Kami datang ke sini dengan menyasarkan sekurang-kurangnya mendapat slot di pusingan akhir, kami juga telah melakukan penggiliran pemain.
"Selain itu kami menggunakan pengalaman dalam semua kejuaraan sebelum ini dan diharapkan barisan pemain semasa dapat melakukan yang terbaik pada pusingan ini.
"Harapan para penyokong terhadap Malaysia sangat tinggi, dan kami ke sini sudah tentu dengan tekad melakukan yang terbaik.
Selepas mengharungi Sukan SEA Kemboja 2023 dan Kejuaraan AFF B-23 dengan noktah kekecewaan, skuad Elavarasan akan menyingkap cabaran Kumpulan H berdepan Bangladesh di Stadium Chonburi pada Rabu.
Kemudian Harimau Muda akan bertemu Filipina pada Sabtu sebelum berdepan ujian sebenar menentang Thailand pada Selasa.
Jelas Elavarasan lagi, para pemain muda negara akan berusaha memastikan skuad negara layak secara merit ke Qatar 2024 biarpun mengakui bukan tugas mudah melepasi halangan kelayakan di Bangkok.
Kelayakan Piala Asia B-23 2024
Jadual
Kumpulan H
RABU (6 SEPTEMBER)
Malaysia lwn Bangladesh, 5.30 petang
SABTU ( 9 SEPTEMBER)
Malaysia lwn Filipina, 5.30 petang
SELASA (12 SEPTEMBER)
Malaysia lwn Thailand, 9.30 malam
*Semua perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.