KUALA LUMPUR - Malaysia menyokong resolusi jangka masa panjang dan harmoni bagi menamatkan konflik Palestin-Israel, tegas Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Zambry berkata, negara ini akan membuat penyelarasan untuk mencari resolusi itu dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Atas kapasiti saya sebagai Menteri Luar Malaysia, saya yakin bahawa pendekatan sebegini akan menyumbang secara signifikan untuk memupuk keamanan yang berkekalan dan mampan di rantau ini,” kata Zambry dalam rakaman video yang dimainkan pada pelancaran Persidangan Antarabangsa Islam & Liberty Network (ILN) Islam ke-10 (ILN) di Hotel Concorde di sini pada Selasa.
Selaras dengan dasar dan perkembangan berterusan konflik itu, Zambry menegaskan, sokongan diberikan untuk mengajak masyarakat antarabangsa menegakkan prinsip sejagat.
"Saya gembira apabila ILN juga menyokong nilai kebebasan sejagat yang berakar dalam kepercayaan Islam.
"Ia merangkumi kebebasan beragama (kebebasan beragama dan kepercayaan, ekspresi dan amalan); kebebasan ekonomi (pasaran terbuka, pertukaran sukarela, dan kerajaan terhad); dan kebebasan politik (demokrasi liberal dan kedaulatan undang-undang),” tambah beliau.
Zamry terdahulu mengakui bahawa wujud cabaran ketara berkisar tentang memahami dan menyatakan makna serta kaitan kontekstual semangat dan kebebasan khususnya dalam masyarakat majoriti Islam.
"Ia tidak bermakna kebebasan untuk melakukan segala-galanya, seperti yang biasa disalah ertikan, sebaliknya ia adalah kebebasan daripada paksaan dan keganasan,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Zambry menjelaskan, intipati kebebasan terletak pada konsep keterangkuman di mana setiap individu menghormati dan menerima semua tradisi dan budaya.
"Kebebasan juga membawa maksud tanggungjawab, yang harus diubah menjadi masyarakat yang prihatin dan bersemangat," katanya.
Persidangan ILN itu diadakan mulai Selasa hingga Rabu dengan misi memberi kefahaman menyeluruh tentang agama, politik, ekonomi, keamanan dan kemakmuran di negara majoriti Islam.
Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Yayasan ILN dengan sokongan Atlas Network, the Network for a Free Society dan Amanie Advisors dengan kerjasama Emir Research serta Institute for Leadership and Development Studies (LEAD).