UUM, persatuan pelajar, sedia gubal garis panduan konsert

Iklan
UUM sedia bekerjasama dengan persatuan pelajar bagi menggubal garis panduan komprehensif berkaitan aktiviti hiburan dan konsert.

ALOR SETAR - Universiti Utara Malaysia (UUM) sedia bekerjasama dengan persatuan pelajar bagi menggubal garis panduan komprehensif berkaitan aktiviti hiburan dan konsert.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, antara persatuan pelajar yang akan terlibat termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan-Persatuan Pelajar dan Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa UUM.

Iklan
Iklan

Menurutnya, garis panduan aktiviti hiburan dan konsert sudah sedia ada tetapi penggubalan secara komprehensif perlu dibuat selain mengambil kira persetujuan majoriti pelajar.

"Penggubalan garis panduan baharu mengambil kira semua aspek termasuk sensitiviti, adab, kesopanan dan kehendak sebenar pelajar,” katanya.

Iklan

Menurut beliau, garis panduan untuk universiti akan dirangka dan disediakan berdasarkan input MPP dan kepimpinan pelajar lain.

Dr Ahmad Martadha berkata, UUM amat cakna dan menyokong penuh pelaksanaan dan penganjuran aktiviti pelajar di kampus termasuk hiburan.

Iklan

Jelasnya, pihak universiti sentiasa mengadakan sesi libat urus dengan MPP dan JKPS dalam membincang, membentuk serta memurnikan garis panduan yang bersesuaian dengan persembahan kebudayaan di UUM.

"Kita sekali lagi akan bersama-sama dengan MPP dan pemimpin pelajar lain untuk memberikan input bagi merangka garis panduan bersesuaian, supaya tidak berlaku perkara tidak diingini dalam masa sama, menyediakan hiburan kepada pelajar.

"Apa yang kita mahu laksanakan ialah memenuhi kehendak majoriti pelajar dan jenis hiburan yang mereka dimahukan,” katanya.