JUARA tiga kali, Negeri Sembilan FC kendalian K Devan menyingkap aksi suku akhir pertama Piala Malaysia apabila berdepan penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 13 September.
Timbal balik kedua pula menyaksikan armada Harimau Selatan yang dipacu Esteban Solari berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada 23 September dengan kedua-dua perlawanan bermula jam 9 malam.
Aksi Sabah FC pimpinan Datuk Ong Kim Swee menentang juara lapan kali Perak FC pula berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu jam 8.15 malam pada 15 September.
Timbal balik kedua The Bos Gaurus kendalian Yusri Che Lah di Stadium Perak, Ipoh pula berlangsung jam 9 malam pada 25 September.
Terengganu FC kendalian Tomislav Steinbruckner pula akan melayan kunjungan juara 33 kali Selangor FC dalam aksi pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 16 September.
Juara edisi 2001 itu kemudian akan ke laman keramat Selangor FC kendalian Tan Cheng Hoe bagi perlawanan timbal balik kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 24 September.
Juara empat kali Kuala Lumpur City FC akan menjadi tuan rumah kepada Sri Pahang FC kendalian Fandi Ahmad di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, jam 8.15 malam pada 17 September.
Sri Pahang yang juga juara empat kali kemudian akan menanti kunjungan angkatan Nenad Bacina dalam aksi kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan jam 5.30 petang pada 24 September.