SHAH ALAM - Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI) pada Selasa melancarkan Program Susu Sekolah 2023 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah malnutrisi dan membekalkan khasiat kepada murid-murid sekolah yang tidak mengambil sarapan pagi disebabkan oleh faktor sosioekonomi.
DLMI dalam satu kenyataan berkata, fokus program itu akan tertumpu di Zon 8 yang merangkumi sekolah-sekolah rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya di mana 75,000 murid-murid sekolah rendah akan menikmati produk susu berkualiti dari DLMI pada setiap hari persekolahan.
"Program yang dilancarkan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (2), Putrajaya itu merupakan permulaan jerayawara di sebelas sekolah terpilih yang yang akan melibatkan 15,000 murid bermula bulan September sehingga bulan Oktober.
"Program Susu Sekolah DLMI akan merangkumi aktiviti interaktif dan menyeronokkan untuk mendidik kanak-kanak serta ibu bapa mengenai kepentingan pemakanan tenusu.
"Bukan itu sahaja, terdapat juga trak sarapan yang membekalkan khasiat terus kepada kanak-kanak selain dari kehadiran pakar pemakanan yang akan memberi pendidikan mengenai kepentingan sarapan sihat serta bahayanya pertumbuhan kanak-kanak terbantut,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyatana itu, DLMI telah menjadi rakan kongsi strategik kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk Program Susu Sekolah.
"Sejak tahun 2011, DLMI telah mengedarkan lebih daripada 185 juta pek susu kepada 4.5 juta pelajar di negara ini dan menjelang akhir program ini pada tahun 2024, DLMI akan mengedarkan hampir 14 juta pek susu untuk mengkhasiatkan 75,000 murid sekolah rendah,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Urusan DLMI, Ramjeet Kaur Virik berkata, program inovatif yang dilaksanakan merupakan contoh Perkongsian Awam-Swasta (PPP) untuk mengadakan penyelesaian holistik jangka panjang bagi menangani isu malnutrisi bagi memastikan kita melakukan sesuatu yang betul untuk kebaikan kanak-kanak kita.
"Program ini juga dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pendidik, ibu bapa, kanak-kanak serta penggubal dasar mengenai kepentingan produk tenusu untuk kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, penemuan terkini daripada Kajian Pemakanan Asia Tenggara II (SEANUTS II) yang dibiayai oleh FrieslandCampina, syarikat induk DLMI amat membimbangkan.
"Satu daripada tiga kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak mengambil sarapan setiap hari, 84 peratus kanak-kanak tidak mendapat jumlah vitamin D yang mencukupi manakala 70 peratus kanak-kanak mengalami kekurangan kalsium,” katanya.