SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penyebaran dua dokumen palsu mengenai arahan tekanan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel, Ehud Bara merupakan propaganda pemimpin pengecut.
Menurutnya, strategi berkenaan sudah dilakukan sejak lewat tahun 1990 dan ia perbuatan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu.
Ujarnya, perbuatan itu merupakan propaganda tanpa nama dan tindakan ‘baling batu sembunyi tangan’ oleh mereka yang takut.
"Kedua-dua dokumen palsu ini telah digunakan sejak penghujung 1990-an untuk mempertahankan seorang pemimpin yang telah menyalah guna kuasa dan mempunyai masalah moral.
Baru-baru ini, tular sebuah video yang berdurasi 23 minit 33 saat mengenai negarawan yang didakwa menghantar surat kepada Perdana Menteri Israel bagi meminta bantuan kewangan pilihan raya.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, jika perkara tersebut benar ia perlu dilaporkan secara terbuka dan bukan bersembunyi di sebalik akaun media sosial palsu atau menggunakan nama samaran.
Ujarnya, terdapat individu yang akan mendedahkan salah laku beliau ketika menjadi pemimpin, namun sehingga kini masih tiada bukti dikemukakan oleh mana-mana pihak.
Beliau turut mendakwa usaha itu bertujuan mengalihkan perhatian masyarakat dan mendedahkan agenda reformasi cuma slogan serta bukan pegangan.
"Ia cuma dokumen palsu yang dikeluarkan oleh ‘cybertroopers’ dan disambut oleh penyokong-penyokong taksub.
"Jika dokumen ini benar mengapa perlu sebar melalui media sosial dan mengguna akaun palsu? Lapor kepada pihak berkuasa jika ia tulen.
"Cukup-cukuplah dengan sikap berbohong dan mula berkata benar,” katanya.