PEMAIN Harimau Malaya perlu mengadaptasi segera corak permainan lebih fizikal dan agresif Syria apabila berdepan angkatan Nosour Qasioun tersebut di Chengdu, China pada Rabu.
Malah, pemain pertahanan negara, Brendan Gan percaya cabaran sama juga bakal ditampilkan jagoan Asia Barat berstatus 94 dunia itu di Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan Piala Asia di Qatar, Januari depan.
Jadi tegas tonggak Selangor FC itu, input yang diperolehi dalam perlawanan persahabatan di Stadium East-Town Football Park, Chengdu penting bagi penambahbaikan pasukan negara.
"Ya, Syria merupakan lawan yang semestinya sukar, tapi ini sebenarnya perlawanan yang diperlukan pasukan negara untuk kelayakan Piala Dunia dan persiapan ke Piala Asia.
"Dari sini barisan kejurulatihan akan dapat mengkaji sejauh mana tahap keupayaan pasukan pada ketika ini,” katanya pada Isnin.
Dalam masa sama Brendan mengakui selain Syria, China yang juga antara pasukan terlibat dalam aksi persahabatan itu akan menampilkan corak sebenar di Chengdu.
"Kami juga jangkakan aksi yang lebih fizikal bertemu China kerana mereka mempunyai tubuh yang besar dan mereka juga bagus dalam situasi bola mati.
"Biarpun begitu, buat masa ini tumpuan kami adalah kepada diri kami dan cara permainan kami.
"Cumanya di sini, kami sudah mengetahui apa yang akan dilakukan Syria dan China, dan berharap input diperolehi memberikan kelebihan buat kami,” katanya.
PERLAWANAN ANTARABANGSA HARIMAU MALAYA 2023
RABU (6 SEPTEMBER)
Malaysia (136) lwn Syria (94)
(Stdm East-Town Football Park, Chengdu, 5 petang)
SABTU (9 SEPTEMBER)
Malaysia (136) lwn China (ke-80)
(Stdm Phoenix Hill, Chengdu, jam 7:35 malam)
*Kedudukan ranking dunia dalam kurungan