PM tiada kaitan dengan keputusan diambil Jabatan Peguam Negara - Saifuddin

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tindakan Jabatan Peguam Negara yang tidak meneruskan pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiada kaitan dengan kuasa eksekutif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kuasa dan tindakan peguam negara itu berlandaskan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

"Untuk mendakwa atau tidak, untuk teruskan atau tarik balik (pendakwaan), itu kuasa yang ada dalam Perlembagaan (Persekutuan)... sebab itu saya menolak dan menangkis tuduhan dan andaian bahawa apa yang dibuat oleh peguam negara, semuanya di bahu (arahan) perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ceramah kelompok Pakatan Harapan di Taman Anggerik, Kempas di sini malam Selasa.

Iklan

Pada Isnin, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Iklan

Sementara itu mengulas gesaan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen untuk melakukan reformasi institusi terhadap pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR berkata sistem yang diguna pakai ketika ini, diwarisi daripada kerajaan sejak dahulu.

Beliau berkata, pelantikan penguam negara adalah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, berdasarkan usul ketua eksekutif.

"Ini bukan pertama kali (pelantikan peguam negara atas usul ketua eksekutif), kita warisi sistem yang sudah berjalan, kalau ada apa-apa usul untuk ubah keadaan (sistem) sekarang...kita akan tengok (teliti)," katanya.

Sementara itu, ketika berucap dalam ceramahnya, Saifuddin Nasution berkata, tindakan pihak pembangkang menyalahkan perdana menteri berhubung kes Ahmad Zahid, mencerminkan pendirian pembangkang yang tidak konsisten.

Beliau berkata, ini kerana, apabila kes mahkamah melibatkan pemimpin pembangkang dan mereka dibebaskan tidak timbul masalah, tetapi apabila melibatkan kes pemimpin kerajaan mereka mula memainkan sentimen salah kuasa perdana menteri.

"Beberapa minggu lepas penguam kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, iaitu Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah dan Muhyiddin dibebaskan....kini, Hisyam juga peguam kepada Ahmad Zahid dan dibebaskan juga... tapi yang salah Anwar.

"Lihat tak kosistennya mereka (pembangkang), bila yang lepas itu orang kita (dalam kalangan pembangkang) itu ok...tapi bila lepas itu musuh (kerajaan) kita (pembangkang) Anwar yang salah, seolah-olah Anwar yang ketua eksekutif ini semua di bawah telunjuk dia," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid

Kes Zahid: Muda adakan mesyuarat tergempar - Syed Saddiq

Kes Zahid: Rasuah Busters tuntut kerajaan kotakan kata

Kes Zahid: Pimpinan Kerajaan Perpaduan perlu nyatakan pendirian - Muda

Kes Ahmad Zahid: Gerakan tuntut penjelasan

Kes Zahid: Muhyiddin persoal tindakan Peguam Negara

Idrus Harun diminta beri penjelasan kes Ahmad Zahid - Anthony Loke