BANK Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini memperkatakan tentang satu isu yang menarik dan wajar diberikan perhatian iaitu mengenai perlindungan sosial.
Bank pusat itu menekankan perlindungan sosial melibatkan kesejahteraan kewangan perlu dibina semula sebagai benteng kehidupan yang lebih kukuh dalam menghadapi cabaran mendatang.
Pendek kata, BNM mahu memastikan rakyat tidak menghadapi masalah kewangan serius pada masa depan jika negara diancam virus baharu seperti Covid-19 dan malapetaka alam sekitar iaitu banjir.
Sehubungan itu, pembaharuan dalam perlindungan sosial dari aspek tabungan rakyat perlu dibuat dalam tempoh terdekat oleh pelbagai pihak berkaitan. Antara yang jelas saranan BNM ialah rakyat perlu perlahan-lahan membina semula penampan kewangan mereka.
Bukan sahaja melibatkan pekerja dalam sektor kerajaan mahu pun swasta yang mewajibkan mereka mencarum dalam dana kewangan negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi perkara sama iaitu membina benteng kewangan perlu bagi mereka bekerja sendiri seperti petani, peniaga, nelayan dan seumpamanya.
Data terkini menunjukkan kira-kira 6.1 juta ahli KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang RM10,000 dalam akaun mereka. Pembaharuan perlindungan sosial yang menyeluruh perlu dibuat seperti merombak kembali pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB).
Ia penting bukan sahaja dari sudut kesejahteraan kewangan tetapi melibatkan pelbagai aspek kehidupan iaitu kesihatan, peluang pekerjaan dan lebih utama ke arah membasmi kemiskinan.
Rakyat masih dibelenggu masalah, antaranya harga rumah tinggi, gaji rendah sehingga menjejaskan soal pemakanan yang sihat dan pendidikan. Jika pembaharuan perlindungan sosial dapat dibuat dan berjaya dilaksanakan, ia secara langsung akan memperkukuh jaringan keselamatan ekonomi yang menjadi asas membina masyarakat bersepadu dari segi sosial dan ekonomi.
Malah, jika jurang tahap kehidupan rakyat masih melebar dan tidak dapat dikurangkan, maka kita masih belum layak dikatakan mencapai pertumbuhan ekonomi yang baik. Apatah lagi, ingin mencapai negara berpendapatan tinggi yang dilaungkan sebelum ini.
Justeru, negara disarankan melakukan pembaharuan struktur demi mewujudkan masyarakat sosial lebih adil dalam menjaga kepentingan rakyat, sekali gus menjana ekonomi negara khususnya.