48 keluarga pelajar bukan Islam terima sumbangan Ramadan

Iklan
Pelajar Tingkatan 1, Pirreim Vengades (tengah) dan ibunya, Vijaya Maruthan, 42 menerima sumbangan daripada SMK Seri Perling dalam Majlis Penyampaian Prihatin Bersamamu di sini hari ini.

JOHOR BAHRU - Seramai 48 ketua keluarga bagi pelajar bukan Islam di SMK Seri Perling menerima bantuan barangan makanan sempena bulan Ramadan.

Pengetuanya, Subaidah Haleed berkata dalam soal menghulurkan bantuan, pihaknya tidak pernah membezakan kaum dan agama dalam membantu pelajar-pelajarnya.

Iklan
Iklan

"Sejak tahun 2013 saya asaskan program bantuan kepada pelajar-pelajar di sini tanpa mengira kaum. Untuk Ramadan ini pun kita beri kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

"Ada juga yang tanya kenapa nak beri kepada kaum lain pada bulan Ramadan? Tapi pada saya, kita mesti raikan semua kaum dengan melibatkan mereka, bantu semua pelajar yang ada masalah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Prihatin Bersamamu di sini, hari ini.

Iklan

Dalam program itu, seramai, 124 keluarga menerima sumbangan barangan makanan termasuk dua kampit beras, minyak dan pelbagai barangan lain.

Katanya, pihak sekolah mensasarkan 300 keluarga dapat dibantu menjelang Aidilfitri ini.

Iklan

"Kita bantu bukan pelajar sahaja malah bekas pelajar yang susah, jiran tetangga, warga emas, golongan asnaf, kakitangan kami dan sesiapa sahaja yang memerlukan.

"Mana yang tak mampu datang ambil barangan di sekolah, kami akan hantar ke rumah," katanya.

Katanya, derma berjaya dikumpulkan pihak sekolah setakat ini sebanyak RM25,000 dan ia dapat memanfaatkan ramai pelajar serta penduduk sekitarnya.

"Kami kumpulkan derma daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa, individu, pihak swasta dan beberapa lagi pihak.

"Alhamdulillah rakyat kita memang pemurah. Masa saya mulakan kumpul derma ini kira-kira tujuh tahun lalu, kita dapat kumpul RM13,000 yang kemudiannya terus meningkat setiap tahun," katanya.