ARSENAL dijangka sekali lagi akan menjadi pencabar terkuat Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Musim lalu, The Gunners hampir mencipta kejutan muncul juara EPL dan sempat berada di kedudukan teratas liga selama 247 hari, namun persembahan merudum dalam beberapa perlawanan terakhir membolehkan City memintas mereka.
Arsenal melakukan beberapa pembelian pemain yang berkualiti termasuk Kai Havertz, Declan Rice, Jurrien Timber dan David Raya dalam usaha memastikan mereka mampu sekali lagi menjadi saingan kepada City.
Namun, bekas pemain Wales yang kini menjadi pemerhati bola sepak percaya, Arsenal masih belum mampu untuk menghentikan City.
"Pembelian Rice adalah satu tindakan bijak daripada Arsenal. Pemain itu bukan hanya mampu bermain bertahan tetapi juga mampu menyerang seperti yang dilakukan ketika menentang Manchester United.
"Dia mampu mencetak gol dan menambahkan kualiti untuk Arsenal.
"Namun, saya tak rasa Arsenal mampu memenangi liga, kerana Manchester City masih di tahap terbaik.
"Kalau City tidak ada di EPL, rasanya Arsenal akan jadi juara," katanya.