SEPANG - Polis sedang menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan identiti mayat rangka manusia yang ditemui dalam longkang di tepi Jalan Kebun, Klang pada 27 Ogos lalu.
Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan keputusan itu dijangka akan diperolehi dalam tempoh dua minggu.
"Proses bedah siasat telah selesai dijalankan oleh pihak hospital dan masih dalam proses mengesahkan punca kematian," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada Rabu.
Hussein berkata, pihaknya turut menerima laporan orang hilang pada Jun lalu dan percaya kedua-dua kes terbabit ada kaitan kerana individu yang dilaporkan hilang itu berusia 30-an manakala anggaran usia mayat yang ditemukan juga sama.
"Sama ada kes itu diklasifikasikan sebagai kes jenayah atau mati mengejut (SDR), ia akan ditentukan selepas siasatan lebih lanjut," ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan rangka manusia disyaki lelaki ditemukan dalam longkang, pada 27 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong dilaporkan berkata, rangka tersebut dipercayai seorang lelaki berusia 30-an.
Rangka terbabit ditemui orang awam yang melalui sekitar lokasi kira-kira jam 8.15 malam sebelum melaporkan kepada polis.
Rangka terdiri daripada bahagian tengkorak kepala dan bahagian badan dari pinggang ke bawah.