KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim enggan memikirkan saman balas yang bakal diberi oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, sebaliknya mahu fokus kepada tugas sebagai wakil rakyat.
Beliau berkata, perkara tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut.
"Buat masa ini fokus saya adalah tugas sebagai ADUN Kota Lama.
"Masih banyak kerja-kerja perlu dilakukan sebagaimana mandat yang diberikan oleh rakyat kepada saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan Mohd Nassuruddin memfailkan saman terhadap ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan ADUN Kota Lama berhubung isu memfitnah beliau membawa fitrah takfiri.
Selain dua ADUN pembangkang itu, Mohd Nassuruddin turut memfailkan saman terhadap Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkaitan isu tersebut.
Sebelum itu, Mohd Nassuruddin diminta untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kota Lama serta pengundi Barisan Nasonal (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh tujuh hari.
Permohonan maaf itu susulan Mohd Nassuruddin didakwa melabelkan kedua-dua wakil rakyat itu melawan perjuangan Islam semasa menyampaikan kuliah di Medan Ilmu.
ARTIKEL BERKAITAN: MB Kelantan pula saman ADUN Galas, Kota Lama
Dituduh lawan Islam: 2 ADUN PH-BN tuntut MB Kelantan mohon maaf
MB Kelantan gagal mohon maaf, Dr Hafidzah teruskan saman
'Jangan mudah koyak' - MB Kelantan