Sekatan import lembu, kerbau Australia ditarik balik serta-merta

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

PUTRAJAYA - Arahan penggantungan import ternakan hidup lembu dan kerbau dari Australia ditarik balik berkuat kuasa serta-merta, kata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

JPV dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu adalah hasil daripada perkongsian laporan penuh siasatan oleh Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF), Australia selepas mengadakan dua sesi perbincangan teknikal bersama JPV.

Iklan
Iklan

"JPV menghargai keterbukaan DAFF dalam membantu proses penyelesaian isu ini,” kata JPV yang turut berharap keputusan menarik semula sekatan import itu memberi kelegaan kepada industri dan rakyat Malaysia.

Malaysia mengenakan tindakan menggantung sementara pada 4 Ogos lepas sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya dakwaan pihak berkuasa Indonesia mengenai penemuan tanda-tanda jangkitan Lumpy Skin Disease (LSD) pada lembu yang diimport dari Australia adalah benar, memandangkan Malaysia turut mengimport lembu dan kerbau dari negara berkenaan.

Iklan

JPV berkata, para pengimport ternakan lembu dan kerbau dari Australia perlu mengemukakan surat permohonan import dari JPV sebelum membuat permohonan permit.

"JPV juga ingin menegaskan bahawa semua pengimportan ternakan hidup adalah mengikut SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan setiap konsainan yang diimport menjalani proses pemantauan yang rapi," katanya. - Bernama

Iklan