NILAI - Rekod kejayaan baharu dicatatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) apabila berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa jenis 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 436.2 kilogram (kg) bernilai RM32 juta bulan lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, ia merupakan rampasan terbesar yang berjaya dilakukan pihaknya tahun ini di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.
"Rampasan pada 29 Ogos lalu itu dilakukan hasil risikan awam oleh sepasukan anggota Kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM.
"Sebanyak 36 buah kotak telah disita dan pemeriksaan lanjut telah menjumpai 12 belas kotak mengandungi bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi pelbagai warna dan bentuk disyaki pil Ekstasi yang mengandungi dadah jenis MDMA mengikut berat kasar 436.2 kilogram," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan di sini pada Rabu.
Menurutnya, baki 24 kotak lagi berisi batu bata yang dikesan menjadi taktik sindiket untuk mengaburi pihak berkuasa.
Selain itu katanya, sindiket tersebut turut menggunakan modus operandi dengan cara mengikrarkan barang yang mengandungi dadah tersebut sebagai 'tools'.
"Siasatan awal mendapati, dagangan tersebut diimport dari negara Belanda dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir.
"Hasil risikan juga mendapati, pengimport menggunakan maklumat palsu di dalam dokumen pengimportan yang telah menyukarkan lagi tangkapan dibuat," katanya.
Bagaimanapun katanya, siasatan masih berjalan untuk mengesan suspek di bawah seksyen 39B(1 )(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, ia boleh diedarkan kepada 2.18 juta orang penagih dadah.
"Kita juga tidak menolak sindiket ini adalah sindiket sama berdasarkan modus operandi digunakan, namun siasatan lanjut masih dilakukan" katanya.